Merindu rawi Sang Rawi - Utusan Malaysia

Merindu rawi Sang Rawi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA akan berperang sendiri untuk memutuskan mana lagu yang lebih baik, Hilang atau Kau. Itu untuk tempat kedua, sebab Maha Seni dah pasti teratas.

Dan saya akui, Malay New Order album yang baik, malah sangat baik. Tapi ada nilai sentimental melekat pada EP Rawi Live.
Sang Rawi antara kugiran yang saya temui pasca-2019. Sebelum 2019, saya kurang meneroka kugiran baharu. Selera telinga melekat pada lagu-lagu lama atau lagu baharu dari kugiran lama.

Selepas bikin video di Utusan Online dan ada rancangan untuk buat kandungan lagi tentang muzik independen, baru saya gerakkan penerokaan.

Pada 2019, antara rujukan untuk meneroka lagu ialah portal Muzik Kita. Setiap hujung tahun, mereka menyenaraikan 50 lagu terbaik. Senarai itu yang agak sekata dari segi perwakilan alternatif dan pop sangat baik sebab ia dikurasi dengan cita rasa tinggi.

Pada 2020, Maha Seni menduduki puncak senarai Muzik Kita. Ia menewaskan Joe Flizzow, Dayang Nurfaizah, No Good dan Yonnyboii. Sejak itu telinga saya beralih lekat pada Sang Rawi.

Tapi rawinya pendek. Hampir setahun selepas senarai itu dikeluarkan, Sang Rawi umum bubar. Cuma yang baiknya, album Malay New Order tetap diterbitkan pada 2022.

Malay New Order berada di tempat kedua dalam senarai Album/EP Terbaik Pilihan Rondivu 2022. Memang susah mana-mana terbitan nak lawan Sesudah Melakar Langit oleh A. Limin.

TAK TERGANTI

Kenapa selepas lebih dua tahun, orang masih mengharapkan Sang Rawi bersatu dan bikin muzik semula?

Bagi saya mudah: belum ada kugiran lain yang seterampil mereka dalam memodenkan muzik tradisional Melayu. Tolak tepi Salammusik dan Monoloque, mereka di liga dan generasi berbeza.

Adaptasi tradisional oleh Sang Rawi lancar, halus dan berkesan. Mereka ada deria muzik yang sofistikated. Liriknya menikam. Permainan muzik berkualiti. Suara Suffian sangat cocok dengan lagu-lagunya.

Sang Rawi dalam rawinya yang pendek tampil sebagai kugiran yang hampir sempurna.

Dalam semak permintaan pendengar untuk kugiran yang serupa, yang lama, yang banal, mereka timbul di celah lalang dengan cahaya. Menjunjung syarah P. Ramlee di pundak. Apungnya tinggi dan karismatik.

Menjadi tersendiri membuatkan Sang Rawi tak terganti. Sebab itu peminat masih meminta mereka lupakan sengketa dan berpentas semula.

Kau hilang, berjoget lanun bersama maha seni

Saya melekat teruk pada Kau tak lama dulu sebab dikecewa kekasih. Klise.

Mungkin mesej asal oleh Sang Rawi berbeza — lirik itu agak kabur dan boleh ditafsir dengan banyak lapis. Tapi suara merintih Suffian sangat menangkap. Seperti dia faham apa jiwa cengeng saya rasa waktu itu.

Lagu itu pula dilatari bunyi kayu membakar (atau bukan sebenarnya?). Saya mahu ada dalam suasana itu. Duduk berseorang dalam hutan, tepi sungai atau atas tar di simpang Rumah Rakyat

Pekan Johol ditemani unggun membakar, waktu sepertiga malam, mengenang cinta yang tak jadi.

Joget Lanun tak begitu lanun. Namanya begitu kerana peminat Sang Rawi digelar ParaLanun. Tak begitu shanty tapi meriahnya cukup untuk membayangkan sekumpulan lanun Melayu bergembira.

Liriknya sebut kekasih tapi lagu ini buat saya ingat pada memori gembira dengan kawan-kawan. Kawan-kawan juga boleh disayang dan dikenang hangat seperti kekasih.

Hilang mencadangkan kerapuhan. Anda boleh tafsir -nya atau -mu yang disebut itu manusia atau Tuhan, atau kucing peliharaan dan bantal busuk sekalipun, lagu itu berbisik membenarkan

kita jadi rapuh dan mengakui diri lemah.

Lebih mahal lagi, melodinya cukup menyayat. Ia dekat dan menyiat perasaan.

Dan pastinya, mahakarya, Maha Seni. Sebuah trek hampir lapan minit yang penuh misteri dan keindahan.

Lagu ini antara yang terbaik pernah dihasilkan dalam tempoh 10 tahun ini. Rangkap pertamanya pernah jadi penguat semangat saya ketika rasa diri dibenci seluruh makhluk dunia. Rangkap keduanya pula memujuk.

Maha Seni buat saya jatuh cinta berkali-kali pada muzik, pada iman bertuhan, pada manusia di sekeliling, malah pada orang yang tak dikenal.

JANGAN DIKOREK

Apa punca pembubaran mereka tidak diketahui. Naluri kewartawanan saya pun seperti tak mahu menggali — setakat ini, mungkin nanti saya akan mengembara jauh untuk mencari jawapan, kita tak tahu.

Sang Rawi sudah peribadi bagi saya. Maksudnya, saya meminati mereka lebih dari penilaian profesional.

Naluri peribadi saya berkeras, jangan dikorek-korek cerita mereka. Takut nanti jawapannya buat saya jauh pada peribadi mereka dan pandangan terhadap karya juga ikut berubah.

Never meet your hero, kata orang. Lebih kurang begitulah apa yang saya rasa.

Cuma kekesalan besar saya, tak pernah berada atas lantai ruang acara melihat Sang Rawi berpentas. Saya mahu ada dalam ruang itu.

Kalau itu terjadi, perasaannya bakal mirip menonton Butterfingers mempersembahkan lagu Melayu mereka tak lama dulu. Ia surreal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN