BUKIT MERTAJAM: Polis sedang mengesan identiti beberapa lelaki yang sedang bermain meriam karbaid dalam satu rakaman video yang tular di sini sejak awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abdul Samad berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku di Jalan Permatang Rawa di sini.
Terdahulu katanya, video berdurasi dua minit dan 20 saat itu dimuat ke dalam laman Twitter ‘Malaysia Most Viral’ dan tular sejak pukul 9.49 pagi semalam.
Menurut beliau, selain bermain meriam karbaid, rakaman video itu juga menunjukkan kumpulan lelaki tersebut membuat bising dan mengganggu penduduk setempat.
“Berikutan itu juga, polis ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak bermain mercun atau meriam karbaid khususnya sempena perayaan Aidilfitri ini.
“Ini kerana ia boleh dianggap kesalahan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah beliau, sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya sekali. – UTUSAN