STOCKHOLM: Perdana Menteri Sweden, Ulf Kristersson, mendakwa Russia berkemungkinan besar menjadi dalang di sebalik penerbangan dron di beberapa lapangan terbang negara Scandinavia menjelang Sidang Kemuncak Kesatuan Eropah (EU) di Copenhagen, pada minggu ini.
Sejak 22 September lalu, beberapa lapangan terbang di Norway dan Denmark terpaksa ditutup ekoran laporan kemunculan dron di ruang udara.
Bercakap kepada stesen penyiaran TV4, Kristersson berkata, besar kemungkinan kejadian itu adalah mesej politik Russia kepada negara-negara yang menyokong Ukraine.
“Kebarangkalian insiden ini adalah berkaitan usaha Russia menghantar mesej kepada negara-negara yang menyokong Ukraine adalah cukup tinggi. Namun, hakikatnya tiada siapa benar-benar pasti,” katanya.
Menurut beliau, pihak berkuasa Poland sudah mengesahkan dron yang menceroboh ruang udara negara itu awal September lalu adalah milik Russia.
“Segala bukti menghala kepada Russia, namun setiap negara sentiasa berhati-hati untuk menuding jari jika tiada bukti jelas. Tetapi di Poland, kita sudah tahu kebenarannya,” jelasnya.
Selain itu, dron turut dikesan berlegar di kawasan tapak ketenteraan Denmark pada malam Sabtu lalu untuk hari kedua berturut-turut.
Copenhagen dijadualkan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak EU pada Rabu dan Khamis ini.
Bagi menjamin keselamatan menjelang persidangan itu, Denmark semalam mengumumkan penutupan ruang udara daripada semua penerbangan dron awam sehingga Jumaat.
Langkah itu diambil supaya dron musuh tidak disalah anggap sebagai penerbangan sah.
Menurut peraturan, sebarang pelanggaran boleh dikenakan denda atau hukuman penjara sehingga dua tahun.
NATO dalam kenyataannya berkata pihaknya kini meningkatkan tahap kewaspadaan di rantau Baltik ekoran insiden berkenaan. -AGENSI










