Pinjaman tidak wujud meningkat, RM170.2 juta kerugian dalam tempoh tiga tahun - Utusan Malaysia

Pinjaman tidak wujud meningkat, RM170.2 juta kerugian dalam tempoh tiga tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kira-kira 16,444 kes penipuan pinjaman tidak wujud direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tempoh tiga tahun sejak 2019 sehingga awal bulan lalu membabitkan kerugian RM 170.2 juta.

Jumlah tersebut terus menunjukkan peningkatan setiap tahun apabila sebanyak 5,039 kes membabitkan kerugian RM48 juta direkodkan pada 2019.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, terus mencatatkan peningkatan adalah pada 2020 iaitu jumlah itu bertambah kepada 5,718 kes dengan kerugian lebih RM62 juta.

“Pada tahun lalu pula, sebanyak 4,784 direkodkan dengan kerugian kira-kira RM50 juta.

“Bagi tempoh Januari hingga April lalu pula, sebanyak 903 kes penipuan tidak wujud direkodkan dengan kerugian lebih RM8.8 juta,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata Mohd Kamarudin, hasil analisis dilakukan pihaknya mendapati satu-satunya cara sindiket itu mendapatkan wang mangsa adalah melalui ‘wang pendahuluan’ yang kononnya perlu dibayar sebelum pinjaman diluluskan.

“Pelbagai alasan digunakan oleh sindiket untuk mendapatkan bayaran pendahuluan itu termasuk kos perundangan, kos perjanjian, kos insurans, kos peningkatan kredit dan sebagainya.

“Hakikatnya, perkara itu adalah bertentangan dengan kaedah pinjaman wang yang dipraktikkan oleh institusi perbankan atau syarikat pinjaman wang berlesen iaitu sebarang wang proses atau yuran perlu dibayar akan dimasukkan sebagai sebahagian dari jumlah pinjaman,” jelasnya.

Beliau berkata, semua pinjaman yang meminta bayaran pendahuluan adalah satu penipuan.

Justeru, kata beliau, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dan tidak terjerumus sebagai mangsa kepada sindiket penipuan pinjaman tidak wujud.

“Sebarang nasihat dan kemusykilan berkaitan jenayah komersial boleh dirujuk kepada CCID Scam Response Center di talian 03-26101559 atau 03-26101599,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN