Pinjaman tak dapat, wang RM243,000 pula lesap - Utusan Malaysia

Pinjaman tak dapat, wang RM243,000 pula lesap

maut
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Seorang pegawai bank berputih mata selepas wang sebanyak RM243,000 lesap selepas menjadi mangsa tawaran pinjaman tidak wujud melalui laman sosial Facebook.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Kuala Lumpur, Superintenden Mohamad Musa Marsidi berkata, mangsa berusia 54 tahun itu telah berurusan untuk membuat pinjaman sebanyak RM80,000 dengan mengisi borang di laman sesawang.

Kata beliau, mangsa kemudiannya telah dihubungi oleh pekerja syarikat pinjaman wang tersebut dan diminta untuk membuat beberapa transaksi sebagai bayaran proses pinjaman.

“Sejak 28 Februari 2022 sehingga akhir Mac 2022 mangsa telah membuat bayaran sebanyak RM243,000 secara berperingkat ke dalam sembilan akaun bank diberikan.

“Mangsa yang kemudiannya curiga dengan tindakan tersebut kemudiannya tampil membuat laporan polis,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata Mohamad Musa, kes disiasat di bawah bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Mohamad Musa mengingatkan, orang ramai perlu lebih berhati-hati bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan tawaran pinjaman wang tidak wujud.

“Jangan mudah percaya iklan promosi pinjaman wang dengan kadar faedah yang rendah dan proses permohonan yang pantas tanpa syarat ketat.

“Orang ramai perlu hadir secara fizikal ke institusi perbankan atau kewangan berlesen sahaja untuk membuat permohonan pinjaman wang,” jelasnya.

Tambah beliau, semakan perlu dibuat terlebih dahulu pada akaun atau nombor telefon yang meragukan.

“Orang ramai dinasihatkan agar menyemak akaun bank atau nombor telefon yang diragui melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule.

“Sebarang jenayah atau pun aktiviti yang mencurigakan, orang ramai boleh menghubungi CCID Infoline di talian 013-2111 222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/0585, CCID Scam Response Center di talian 03-2610 1559/1599 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan,”katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN