KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri menyerahkan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung penganjuran ‘pesta’ dangdut di sebuah hotel di sini, baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd. Nor Hamzah berkata, kejadian itu amat dikesali dan meminta pihak pengurusan hotel bersikap lebih teliti dalam menerima sebarang tempahan pelanggan di masa depan.
“Sehubungan itu, kita berharap pengurusan hotel dapat menambah baik kaedah pengurusan program selepas ini.
“Bagaimanapun, saya mengalu-alukan permohonan maaf yang dibuat Pengurus Besar Hotel kepada seluruh umat Islam kerana isu ini di luar kawalan mereka apatah lagi berlaku menjelang Ramadan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, tular video berdurasi 25 saat yang memaparkan penyanyi berpakaian seksi dan mengghairahkan di samping beberapa individu menari di atas pentas dalam makan malam bertemakan dangdut ala padang pasir pada 25 Mac lalu.
Penganjuran pesta dangdut oleh kumpulan individu yang merupakan penduduk tempatan itu mendapat kecaman ramai kerana mencemar kesucian bulan Ramadan.
Mohd. Nor berkata, setakat ini tiada mana-mana hotel di Terengganu yang dikesan terlibat dalam pelanggaran Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan.
Katanya, pihak JHEAT sentiasa melakukan pemantauan di premis-premis termasuk hotel dan pawagam bagi menyampaikan maklumat mengenai penguatkuasaan garis panduan itu. –UTUSAN










