MARANG: Polis menahan seorang lelaki dipercayai antara pengedar terbesar di daerah ini dan merampas dadah bernilai RM495,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Surau Haji Yaakob, di sini, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mohd. Zain Mat Dris berkata, lelaki berusia 54 tahun itu ditahan dalam Operasi Tapis Khas 3.0 dan Jihad Dadah kira-kira pukul 12.50 tengah malam selepas melakukan risikan selama lapan bulan.
Katanya, pemeriksaan mendapati rumah sewa suspek yang dilengkapi empat kamera litar tertutup (CCTV) itu turut dijadikan premis pemprosesan dadah.
“Pemeriksaan menjumpai pil berwarna merah dan hijau disyaki dadah jenis yaba seberat 555 gram di ruang tamu rumah berkenaan.
“Pemeriksaan di dalam bilik dan bahagian dapur pula menemukan kira-kira 13.19 kilogram serbuk dan ketulan kristal jernih serta keperangan dipercayai dadah jenis syabu yang bernilai hampir RM480,000,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Marang, di sini hari ini.
Menurut Mohd. Zain, polis turut merampas wang sebanyak RM12,140 dan ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.
Katanya, kesemua dadah yang dirampas itu mampu menampung keperluan kira-kira 20,000 penagih dadah.
Menurutnya, siasatan mendapati suspek memasarkan dadah di negeri ini dan sebahagian Pahang dengan memiliki 19 rekod lampau berkaitan dadah.
Mohd. Zain berkata, suspek kini ditahan reman tujuh hari hingga Ahad ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN