Penduduk kampung berhimpun desak selesai masalah bekalan air

Penduduk kampung berhimpun desak selesai masalah bekalan air

PENDUDUK kampung mendesak masalah ketiadaan bekalan air diselesaikan di Sindumin, Sipitang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIPITANG: Hilang sabar menunggu masalah bekalan air yang terputus sejak dua minggu lalu diselesaikan, sebahagian penduduk kampung tampil membuat perhimpunan aman.

Masalah bekalan air yang berlaku di lebih lima buah kampung di kawasan Sindumin itu mengakibatkan kira-kira 300 penduduk terjejas.

Selepas menanti selama dua minggu dan kini memasuki bulan Ramadan, penduduk kampung nekad mengadakan perhimpunan untuk meminta pihak berkaitan mengatasi masalah air di kampung mereka.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat Sindumun, Sani Miasin berkata, masalah bekalan air di situ sudah dimaklumkan kepada agensi berkaitan pada hujung minggu lalu namun, tiada sebarang tindakan proaktif yang diambil.

SANI Miasin (kiri) mendengar penjelasan wakil kontraktor mengenai kebocoran paip yang berlaku di Sindumin, Sipitang.

“Tiada inisiatif menghantar lori tangki air untuk membekalkan air kepada penduduk yang terjejas sepanjang tempoh tersebut.

“Masalah air yang berlaku disebabkan kebocoran pada paip utama yang mungkin terkorek semasa kerja-kerja menaik taraf jalan dilakukan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Malah, berlaku salah faham antara kontaktor jalan raya dan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) mengenai tindakan pembaikan kebocoran paip yang berlaku.

Menurutnya, beliau tidak ingin menuding jari mencari kesalahan mana-mana pihak kerana beliau hanya mahu usaha membaiki kebocoran paip yang berlaku dapat dilakukan bagi memastikan penduduk memperoleh bekalan air dengan kadar segera.

Sani, yang juga Ketua Pemuda UMNO Sipitang itu berkata, sekiranya berlaku kebocoran paip semasa kerja-kerja menaik taraf jalan dilakukan, pihak berkaitan perlu lebih bertanggungjawab untuk menghantar bekalan air kepada penduduk sehingga kerja-kerja pembaikan dilakukan.

Semalam, kira-kira 20 orang penduduk kampung membuat perhimpunan selama dua jam sejak 7.30 pagi bagi mendesak pihak berkaitan menyelesaikan segera isu bekalan air ke kampung mereka yang terputus sejak dua minggu lalu.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN