SHAH ALAM: Jumlah kompaun dikenakan terhadap pihak yang menyebabkan pencemaran alam sekitar pada tahun ini di Selangor meningkat kepada RM1.238 juta merangkumi 619 kes setakat suku pertama tahun ini.
Angka tersebut dilaporkan meningkat berbanding tahun lalu iaitu sebanyak RM362,000 bagi tempoh sama walaupun perbezaan jumlah pemeriksaan tidak jauh apabila 793 premis diperiksa tahun ini berbanding 594 pada 2021.
Malah, Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri ini melaporkan daripada jumlah tersebut pada tahun ini 321 notis arahan dikeluarkan, 15 tindakan mahkamah, 13 Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) dan satu Perintah Larangan (PL).
Pengarah JAS Selangor, Nor Aziah Jaafar, dalam satu kenyataan berkata, walau bagaimanapun peningkatan terhadap tindakan tersebut selaras dengan jumlah pemeriksaan dilakukan pada suku pertama bagi kedua-dua tahun.
Katanya, pada awal tahun ini juga, JAS Selangor menjalankan Operasi (Ops) Gempur ke atas industri yang berpotensi tinggi menyebabkan pencemaran terutamanya yang terletak di hulu takat pengambilan dan juga premis yang kerap diadukan.
Dalam operasi tersebut, sebanyak 406 kompaun dikeluarkan, 66 notis arahan, dua tindakan mahkamah dan dua POK, namun tiada PL dikenakan.
“Secara keseluruhannya, pencapaian suku pertama tahun 2022 JAS Selangor dalam operasi tersebut menunjukkan peningkatan dari segi tindakan penguatkuasaan berbanding suku pertama tahun 2021,” katanya.
Nor Aziah menambah, pihaknya menetapkan sasaran untuk meningkatkan pematuhan ke atas 10 sektor industri bagi tahun 2022 selaras dengan ketetapan Mesyuarat Penyelarasan Tindakan Penguatkuasaan JAS Tahun 2022.
Pematuhan tersebut meliputi industri-industri penyudahan logam dan sadur elektrik, kertas, pengilangan logam, plastik, galian bukan logam, penapisan minyak makan, makanan dan minuman, industri kimia, berasaskan getah dan penapisan petroleum.
“JAS Selangor komited dalam melaksanakan pemantauan serta penguatkuasaan ke atas industri–industri tersebut bagi memastikan pematuhan yang tinggi dan seterusnya pencemaran alam sekitar dapat dikurangkan secara langsung,” katanya.
Jelasnya lagi, JAS Selangor turut komited meningkatkan penguatkuasaan dan pematuhan ke atas punca-punca Tetap Industri dan Bukan Industri pada suku tahun berikutnya dengan lebih tegas.
“JAS Selangor tidak akan berkompromi ke atas pihak industri yang tidak mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya. Semua pihak perlu memainkan peranan dan menjalankan tanggungjawab masing-masing memastikan kualiti alam sekitar sentiasa terpelihara.
“Saya juga ingin mengajak orang ramai untuk membantu JAS dengan melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau e-mel ke [email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my,” ujarnya.-UTUSAN










