PETALING JAYA: Tindakan seorang pengguna media sosial menyalah guna gambar seorang pemuda sebagai pelajar yang dikaitkan dengan isu pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), mengundang kemarahan lelaki berkenaan.
Dalam catatan Facebooknya, pelaku mengatakan dia sedih melihat keadaan pelajar itu yang sangat daif dan susah.
“Tak sepatutnya dia dimalukan dan tidak sepatutnya dia dibiarkan tidak dibantu. Ayuh seluruh negara. Kita pakat sumbangkan Ipad, laptop, komputer dan Iphone 13 untuk kemudahan kehidupan pelajar ini. Bantu A-Z hingga pembelian spender untuk dipakai ke kelas,” tulisnya.
Jelas pemilik gambar itu, dia dimaklumkan bahawa pelaku bukan sahaja menyalah guna gambarnya tetapi memerli dan melempar tuduhan yang tidak wajar kepadanya.
Sementara itu, kenyataan pelaku mendapat banyak ‘sokongan’ netizen gara-gara mudah percaya perkara tersebut tanpa usul periksa.
“Apa yang kecoh-kecoh lagi lagi tu. Tak payah acah B40 tersakiti sangat. Sudah memang golongan miskin kita terima sahaja. Lebih mulia kita sedar diri ini hina, miskin, pendosa daripada bangga diri, riak,” komen Risya Peter.
Terdahulu, tular klip video berdurasi 1:45 minit memaparkan seorang pensyarah memarahi pelajarnya kerana tidak mempunyai komputer dan menghadiri sesi pembelajaran menggunakan telefon bimbit serta menghina golongan B40 ketika sesi tersebut berlangsung. – UTUSAN