Pemimpin Sarawak, Sabah ada Peluang jadi TPM

Pemimpin Sarawak, Sabah ada Peluang jadi TPM

Dr Awang Azaman Awang Pawi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Peluang untuk pemimpin Sarawak menjadi Timbalan Perdana Menteri (TPM) masih ada jika rakyat dan pemimpin negeri ini bijak berunding dengan parti-parti di Semenanjung Malaysia untuk jawatan kedua tertinggi negara itu.

Pensyarah kanan Universiti Malaya, Profesor Madya Dr. Awang Azaman Awang Pawi berkata, Sarawak dan Sabah boleh menuntut jawatan timbalan perdana menteri kedua atau ketiga atau secara penggiliran seperti mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri II atau III, atau secara bergilir dengan Sabah kerana sumbangannya dalam pembentukan Malaysia.

“Maknanya satu penggal untuk Sarawak dan satu penggal lagi untuk Sabah dan seterusnya secara bergilir,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Awang Azman, sebenarnya bekas Yang Dipertuan Negeri yang juga bekas Ketua Menteri Sarawak Tun Abdul Rahman Yakub yang ketika itu Menteri Pendidikan pernah ditawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri oleh Perdana Menteri ketika itu Tun Abdul Razak dengan mengajak beliau menyertai UMNO, bagaimanapun ditolak oleh Tun Abdul Rahman.

“Tetapi bagi saya, apa guna jadi Timbalan Perdana Menteri jika hanya pada nama sahaja dan menjadi boneka semata-mata. Tidak ada apa-apa, kerana rakyat masih juga sama,” kata Awang Azman lagi.

Menurut Awang Azman, berdasarkan sumber jabatan statistik Malaysia, negeri termiskin ialah Sabah dengan kadar 25.3 peratus, diikuti negeri Kelantan sebanyak 21.2 peratus dan Sarawak pula kadar kemiskinan ialah sebanyak 12.9 peratus.

Malah, katanya pada tahun 2019 di beberapa kawasan luar bandar mempunyai kadar kemiskinan tertinggi.

Katanya lagi, berdasarkan statistik berkenaan, daripada mewujudkan jawatan TPM 1 atau II adalah lebih baik memastikan jawatan Menteri Kewangan, Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Menteri Ekonomi dipegang oleh wakil rakyat Sabah dan Sarawak.

“Daripada mengejar jawatan TPM yang hanya dapat dilihat prestij jawatannya dan bukannya tanggungjawab yabg lebih besar dalam konteks kementerian yang lebih strategik.

“Ini bermakna yang penting ialah bukan sahaja bagaimana kita hendak menuntut hak-hak Sarawak.

“Ia bukan bersifat pentadbiran sahaja akan tetapi perlu mempunyai implikasi peruntukan pembangunan yang lebih besar dan mampu sampai kepada rakyat biasa di peringkat akar umbi,” ujarnya.

Yang paling penting dan perlu diperjuangkan oleh pemimpin Sarawak hari ini menurut Awang Azman ialah bagaimana mereka harus memastikan rakyat negeri ini mendapat dan membuka peluang-peluang bekerja dalam pelbagai sektor dan menikmati limpahan pembangunan dan hak yang diperjuangankan itu kelak.

Sebagai contoh, katanya, limpahan hasil daripada industri minyak dan gas (yang sepatutnya menjanjikan peluang pekerjaan) tetapi rakyat tempatan di Miri dan Bintulu hanya mampu tengok sahaja kerana yang mendapat pekerjaan adalah warga asing dan rumah mampu milik yang disediakan kerajaan akhirnya hanya menjadi ‘rumah mampu tengok’ sahaja dalam kalangan rakyat.

Kalau ada pun, katanya rakyat tempatan hanya bekerja di peringkat bawahan sahaja, sedangkan mereka mempunyai hak untuk sama-sama menjadi ‘jeneral’ dan sebagainya.

Beliau berkata, limpahan kemakmuran itu paling penting, supaya rakyat dari segenap lapisan hingga ke akar umbi menikmatinya dan merasai hak yang diperjuangkan pemimpin yang dipilih mereka.

Menurut Awang Azman, rakyat Sarawak lebih suka diberikan peruntukan besar untuk pembangunan prasarana di negeri itu berbanding melihat orang dari negeri itu dilantik menjadi timbalan perdana menteri.

“Rakyat Sarawak lebih suka hak mereka ditegakkan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak sekadar perjanjian atas kertas sahaja.

“Ia perlu lebih banyak melibatkan pertambahan peruntukan kewangan yang berganda dan keutamaan diberikan kepada Sarawak dan Sabah ialah daripada segi penambahbaikan prasarana.

“Apa gunanya orang Sarawak memegang jawatan nombor dua apabila ia hanya memanfaatkan seorang individu sahaja, manakala Sarawak pula kekal kadar kemiskinan ketiga tertinggi di Malaysia,” tambahnya.

Oleh sebab itu katanya lebih baik Sarawak mendapat lebih banyak dana pembangunan yang akan memanfaatkan semua rakyat Sarawak, khususnya di luar bandar dan membasmi miskin luar bandar dan kini miskin bandar.

Beliau berkata pelantikan timbalan perdana menteri daripada orang Sarawak tidak semestinya membolehkan negeri itu mendapat peruntukan lebih baik atau diberi keutamaan dalam projek pembangunan.

Bagaimanapun, katanya sekiranya Sarawak mendapat kedua-duanya sekali (jawatan TPM dan manfaat) ia lebih baik dan bonus.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya