Pembeli resah, pemaju terus tanggung rugi

Pembeli resah, pemaju terus tanggung rugi

GAN AY LING (kanan) bersama Ahmad Ashraf Mohd Zabawi dan Shahidan Mat semasa meninjau projek perumahan di Taman Ria, Padang Nyu, Oran, Arau, Perlis, semalam.- UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Para pembeli rumah di Taman Ria Padang Nyu, Oran di sini masih tidak menerima kunci rumah mereka walaupun kediaman tersebut sudah siap sejak Jun tahun lalu.

Kelewatan tersebut dikatakan berpunca daripada kegagalan Syarikat Air Perlis (SAP) untuk melakukan pemeriksaan kerja-kerja penyambungan paip di perumahan itu.

Masalah yang berlarutan itu bukan sahaja mengundang resah pembeli, malah pemaju terpaksa menanggung kerugian membayar caj kelewatan kepada pembeli.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemaju HDI Prima Development Sdn. Bhd., Ahmad Ashraf Mohd Zabawi berkata, penyerahan kunci 16 unit rumah itu sepatutnya pada Disember tahun lalu namun mengalami kelewatan selepas tidak mendapat kerjasama daripada SAP.

“Kita telah memenuhi syarat ulasan daripada pihak SAP bagi mendapatkan sokongan sijil pematuhan kod (CCC) dengan menukar paip sedia ada di tapak iaitu AC Pipe kepada paip jenis baharu iaitu MSCL. Kami telah memberi surat panggilan pemeriksaan kepada SAP pada 25 Julai 2021 tetapi sehingga kini masih tidak ada sebarang maklum balas.

“Pihak kontraktor juga sering berhubung dengan SAP bagi menetapkan tarikh pemeriksaan namun masih tidak ada penetapan. Kalau pembeli datang lihat rumah sememangnya sudah siap tetapi malangnya masih tidak dapat diserahkan kerana masalah yang belum selesai itu,” katanya.

Tambah Ahmad Ashraf, semakin berlarutan masalah tersebut mereka terpaksa menanggung kerugian akibat caj kelewatan.

“Semakin lama semakin makin banyak caj kelewatan yang perlu kami bayar kepada pembeli. Sekarang sudah melibatkan empat pembeli dengan nilai keseluruhan RM33,000 dan nilai tersebut akan bertambah jika tidak diselesaikan dengan cepat,” katanya.

Sementara itu, kontraktor pemasangan paip, Shahidan Mat pula berkata, surat telah dihantar kepada Jabatan Kerja Raya (JKR), Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan dan Prasarana awam negeri, Hamizan Hassan selain berhubung sendiri dengan SAP, namun masih tidak ada tindakan yang diambil.

“Bila berhubung dengan SAP, mereka kata nanti akan aturkan masa untuk datang periksa. Kini sudah hampir setahun tapi masih tidak selesai,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, Gan Ay Ling berharap pihak bertanggungjawab termasuk kerajaan negeri dapat menyelesaikan serta memandang serius masalah tersebut.

“Saya difahamkan penukaran paip ini adalah inisiatif daripada pemaju sendiri memandangkan paip sebelum ini sudah lama. Ini adalah tanggungjawab sosial korporat (CSR) daripada mereka yang bernilai RM130,000 termasuk dengan pembesaran jalan.

“Jadi, saya minta pihak bertanggungjawab dapat memainkan peranan kerana dikhuatiri pemaju pembangunan di negeri ini serik untuk melaksanakan projek di sini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN