Pelawak perlu ada asas, tak boleh main hentam - Yassin Yahya

Pelawak perlu ada asas, tak boleh main hentam – Yassin Yahya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Insiden pelakon terkenal antarabangsa, Will Smith, ‘menampar’ selebriti Chris Rock semasa Anugerah Oscar ke-94 minggu lalu mengejutkan ramai pihak.

Ia sedikit sebanyak memberi iktibar buat pelawak-pelawak di serata dunia untuk lebih berhati-hati dalam ‘melawak’ agar tidak menyentuh sensitiviti sesebuah pihak.

Apabila ditanya pendapat penyanyi dan pelawak tanah air, Yassin Yahya, dia ada jawapan berhubung isu tersebut.

Bagi salah seorang anggota kumpulan komedi popular, Senario ini, walau setiap insan bebas untuk melontarkan kata bicara, namun semua itu ada batasnya.

Tambah Yassin, jika seorang pelawak itu sudah berlebihan apabila berjenaka, ia perlu ditegur sebagai pengajaran.

“Ia teguran yang membina bagi mewakili pelawak-pelawak di seluruh dunia. Walaupun bebas untuk berbicara, tetapi ada tahap yang sampai masanya kita perlu tegur.

“Mungkin lawak atau jenaka itu sudah melampaui dan menyentuh sensitiviti individu. Bagi saya, pelawak-pelawak kini sebagai cendawan yang tumbuh selepas hujan.

“Kami sebagai kumpulan komedi pertama tempatan, saya juga ada menerima tempias apabila perlu ditegur atau memperbaiki,” katanya ketika ditemu bual.

Menitipkan kata nasihat, seseorang bergelar pelawak seharusnya mempunyai asas melawak berserta ilmu di dada dan tidak hanya berlawak ‘kosong’ ketika menyampaikan sesuatu persembahan.

“Jadi, perlu tahu lawak itu malah perlu kenal bukan sahaja diri sendiri tetapi di sekeliling kita juga. Belajarlah, kawal diri” ujarnya.

Hasrat mahu buka kelas asas lawak
Punyai hasrat yang besar, pelakon versatil ini sudah lama memasang impian ingin membuka kelas asas melawak, bagi pendatang baharu yang ingin menceburi bidang lawak tanah air.

Katanya, cukuplah sekadar berkongsi sedikit sebanyak ilmu yang ada kepada bakat baharu agar dapat didukung sebagai pelawak berkaliber.

Baginya, ilmu itu penting supaya generasi pelawak baharu tidak main ‘hentam’ sahaja apabila melakukan persembahan sehingga membuat pihak tertentu terasa.

“Saya teringin nak membuka satu kelas asas lawak. Dulu ramai yang sibuk nak jadi penyanyi dan pelakon. Tetapi pada masa kini, dilihat semua orang hendak jadi pelawak.

“Bagaimanapun, lawak ini tidak perlukan kelas namun cukuplah memberi sedikit sebanyak juga ilmu kepada pelawak-pelawak baharu. Tidak boleh main hentam sahaja, kenalah belajar baca suasana,” tuturnya.
Pelakon filem popular Lagi Lagi Senario itu juga memberitahu, seorang pelawak sebaiknya mahir dalam mengawal segala lawak yang disampaikan kepada khalayak.

Jelas Yassin, jika lawak tersebut gagal dikawal, ia secara tidak langsung akan memberi impak kepada pihak lain.

“Sekarang ini dilihat lawak ini ada beberapa peringkat tersendiri. Sebagai contoh, lawak di pentas lain, di radio, dan sebagainya.

“Jadi, kita perlu mempunyai suasana itu, kita perlu tahu lawak yang ingin disampaikan itu banyak atau sedikit. Seorang pelawak itu sahaja yang boleh mengawal.

“Jika gagal mengawal perkara tersebut, ia akan terpalit kepada orang lain. Ada pihak yang akan terasa. Itulah kita perlu berhati-hati dengan orang sekeliling,” kongsinya.

Nama pun anak seni berbakat besar, figura ini juga memiliki vokal yang hebat dalam bidang nyanyian.

Pernah menyertai program Gegar Vaganza musim kelapan (GV8), Yassin menyifatkan seorang pelawak turut mempunyai pakej yang unik sebagai bintang seni.

“Kita boleh lihat sekarang, ramai yang bertungkus lumus hendak menjadi seorang pelawak. Sebab ada pakej untuk jadi pelawak. Malah, mereka memikirkan ia adalah jalan selamat. Saya sudah lalui.

“Untuk menjadi seorang penyanyi, perlu mempunyai karisma tersendiri. Perlu membawa watak sahaja apabila bernyanyi.

“Namun, jika seseorang itu sudah bermula sebagai pelawak, dia versatil. Boleh menjadi penyanyi dan pelakon juga,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya