NIBONG TEBAL: Bagi mengaburi mata pihak berkuasa, sepasang suami isteri dipercayai memasukkan dadah ke dalam bekas peket minuman segera 3 dalam 1 sebelum menjualnya di pasaran.
Dijual pada harga mencecah RM100 untuk satu peket, pelanggan yang membeli 10 peket dan ke atas turut diberikan potongan harga yang istimewa.
Bagaimanapun, kegiatan pasangan tersebut yang dipercayai bergerak aktif sejak awal tahun ini terbongkar susulan satu serbuan sepasukan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Pulau Pinang, Rabu lalu.
Dalam serbuan di sebuah rumah di Simpang Ampat dekat sini, pasangan terbabit diberkas bersama pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM214,776.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Superintenden Lee Chong Chern berkata, antara dadah yang dirampas ialah 164 bungkus plastik mengandungi serbuk dadah MDMA seberat 4,209.88 gram (g) bernilai RM210,494 dan empat keping aluminium foil mengandungi dadah erimin seberat 7.66 g bernilai RM390.
“Turut dirampas ialah lima paket plastik jenis syabu seberat 27.64 g (RM2,764), satu paket plastik ketamin seberat 5.42 g (RM813) dan empat paket plastik pil ekstasi seberat 9.52 g bernilai RM315.
“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas itu dipercayai boleh digunakan oleh seramai 851 orang penagih jika terlepas ke pasaran gelap,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat polis daerah (IPD) SPS, di sini hari ini.
Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan dikenakan tidak kurang daripada 15 kali sebatan.
Susulan serbuan itu juga katanya, polis menyita sebuah kenderaan bernilai RM28,000; seutas rantai leher (RM7,176) serta seutas rantai tangan dan gelang tangan masing-masing bernilai RM1,332 dan RM732 untuk siasatan lanjut.
“Tindakan penyitaan itu diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988,” katanya yang memberitahu, nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta berjumlah RM252,016.
Dalam pada itu, Chong Chern berkata, ujian saringan air kencing pasangan terbabit juga mendapati kedua-duanya positif.
Katanya, si suami yang berusia 38 tahun positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin manakala pasangannya yang berusia 31 tahun positif methamphetamine.
“Ketika ini, kedua-dua tangkapan direman selama tujuh hari iaitu sehingga Rabu ini sebelum tindakan susulan diambil, ” katanya yang memberitahu, pasangan itu juga dipercayai mempunyai seorang anak berusia tujuh tahun.
Tambahnya, dadah yang dirampas itu juga dipercayai dijual kepada orang tengah terlebih dahulu sebelum dipasarkan ke beberapa tempat khususnya di sekitar pusat hiburan di sini. – UTUSAN