PAC Perak digesa siasat penjualan tanah lapangan terbang

PAC Perak digesa siasat penjualan tanah lapangan terbang

TAN Kar Hing (kiri) dan Chong Zhemin menunjukkan surat permohonan supaya PAC Perak mengadakan mesyuarat berhubung penjualan tanah untuk pembinaan lapangan terbang dalam sidang akhbar di Ipoh, Perak, hari ini. - FOTO/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) negeri digesa menjalankan siasatan berhubung penjualan tanah untuk pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar, Perak Tengah.

Ahli PAC  yang juga ADUN Simpang Pulai, Tan Kar Hing berkata, adalah menjadi tanggungjawab PAC memainkan peranan penting sebagai badan semak dan imbang untuk memeriksa perkara itu.

Katanya, tanah yang didakwa Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad sudah dijual kepada salah sebuah syarikat swasta adalah perkara yang melibatkan kepentingan awam. 

Kar Hing berkata, maka adalah wajar dengan kuasa yang diberikan kepada PAC untuk memanggil bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Saarani dan bekas dan Ahli-Ahli Lembaga Perbadanan Pembangunan Negeri Perak (PKNP) terkini bagi menjalankan siasatan. 

“PAC juga perlu memanggil pihak berkepentingan seperti syarikat yang membeli tanah tersebut, Pejabat Tanah dan Galian, Pejabat Daerah dan Tanah Perak Tengah, Majlis Daerah Perak Tengah dan sebagainya,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Turut hadir seorang lagi Ahli PAC Perak, Chong Zhemin yang juga ADUN Keranji. 

Kar Hing berkata, pihaknya berharap perkara ini tidak sekadar dijadikan bahan bertikam lidah kerana penjualan tanah ini telah mengundang kenyataan yang berbeza dan memerlukan penjelasan yang lebih teliti. 

“Hal ini penting, ia bukan setakat mengenal pasti zaman pemerintahan siapa yang menjualkan tanah tersebut tetapi proses kelulusan penjualannya antara PKNP dan syarikat tersebut, keluasan dan lokasi tanah, harga jualan dan proses pembayaran dan sebagainya perlu disiasat dan dikenal pasti sama ada unsur-unsur salah laku timbul,” katanya. 

Kar Hing menggesa Pengerusi PAC negeri, Datuk Mohd. Tarmizi Idris supaya memanggil mesyuarat PAC dengan kadar segera bagi berbincang mengenai kemelut penjualan tanah lapangan terbang antarabangsa berkenaan. 

Kar Hing dan Zhemin telah mengemukakan permohonan rasmi kepada Mohd. Tarmizi untuk memanggil mesyuarat jawatankuasa.

Ini bagi memeriksa sebidang tanah seluas 478 hektar yang sebahagianya kira-kira 188.13 hektar tanah untuk pembinaan lapangan terbang antarabangsa telah dijual seperti dakwaan Saarani dan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Mohd. Zolkafly Harun. 

Sementara itu, Mohd. Tarmizi ketika dihubungi mengesahkan menerima surat permohonan itu dan akan memanggil mesyuarat dalam waktu terdekat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya