LONDON: Sebuah gunung berapi aktif di Antartika memuntahkan debu emas bernilai kira-kira AS$6,000 (RM28,662) hampir setiap hari.
Menurut portal IFL Science, Gunung Erebus, salah satu gunung berapi paling aktif dan paling selatan di bumi, dianggarkan mengeluarkan kira-kira 80 gram emas setiap hari.
Para saintis mendapati letusan gas yang dihamburkan gunung tersebut sarat dengan kristal kecil emas metalik.
Debu emas dari Gunung Erebus dilaporkan boleh bergerak jauh dan luas dengan penyelidik menemui kesan emas di udara sehingga 999.4 kilometer dari gunung berapi tersebut.
Gunung berapi itu terletak di atas kepingan kerak nipis, membolehkan batu cair naik dengan mudah dari perut bumi.
Menurut Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA), ia kerap mengeluarkan kepulan gas dan wap dan kadangkala mengeluarkan batu vulkanik dalam letusan strombolian.
Jelas Institut Smithsonian, Gunung Erebus menghadap ke stesen penyelidikan McMurdo di Pulau Ross dan mempunyai tasik lava di kawah puncak yang kekal aktif sejak 1972.
Kerana gunung berapi itu berada di lokasi terpencil, penyelidik memantaunya menggunakan satelit.










