PORT DICKSON: Seramai 40 orang warga asing ditahan dalam Operasi Bersepadu Agensi Keselamatan Negeri Sembilan di sekitar daerah ini semalam.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, operasi selama 21 jam turut merampas sejumlah 1,373 peket bersamaan dengan 25,332 batang rokok putih dan kretek pelbagai jenama bernilai RM2,460.48.
“Seramai 256 orang warga asing diperiksa dan 18 orang warganegara Filipina, 17 orang warganegara Indonesia termasuk dua kanak-kanak dan lima orang warganegara Myanmar ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan tidak mempunyai dokumen perjalanan dan pengenalan diri yang sah.
“Bagi jenayah penyeludupan barang, sejumlah rokok putih dan kretek pelbagai jenama dirampas yang disyaki sebagai barangan larangan Kastam dibawah Akta Kastam 1967 di dalam sebuah kenderaan berjenama Proton Iswara. Jumlah rampasan melibatkan duti atau cukai sebanyak RM16,965.17,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson di sini semalam.
Yang hadir sama, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; Setiausaha Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan, Datuk Dr. Razali Ab. Malik dan Pengarah Keselamatan Negeri, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sembilan, Roslin Hisham.
Menurut Mohamad, operasi sempena pembukaan sempadan antarabangsa negara semalam itu memberi tumpuan bagi mencegah kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan aktiviti penyeludupan di sempadan perairan negara dan darat khususnya di perairan Port Dickson.
Katanya, antara agensi dan jabatan yang terlibat dalam operasi bersepadu berkenaan ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Port Dickson.
Sementara itu, Mohamad memberitahu, pihak polis bersama penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan anggota Rela akan meningkatkan pemantauan di setiap bazar Ramadan bagi memastikan orang ramai dan pengunjung tetapi mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
“Kami tidak akan mengambil tindakan sewenang-wenangnya sekiranya orang ramai mematuhi semua SOP dalam fasa peralihan ke endemik ini,” katanya. – UTUSAN









