Najib persoal tindakan KPMG pertikai pelaburan 1MDB

Najib persoal tindakan KPMG pertikai pelaburan 1MDB

NAJIB Razak hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bagi sambung bicara berhubung kes 1MDB. - UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rakan kongsi urusan sebuah firma audit memberitahu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah mempersoalkan tindakan Tetuan KPMG mempertikaikan aset asas pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di sebuah syarikat perantara tujuan khas (special purpose vehicle – SPV) di luar negara.

Datuk Johan Idris yang juga saksi pendakwaan ke-14 dalam penyataan saksinya menyatakan, Ahli Parlimen Pekan itu menimbulkan persoalan itu pada satu pertemuan di rumah beliau pada pukul 9.30 malam, 15 Disember 2013.

Semalam, bekas Ketua Pegawai Kewangan 1MDB, Azmi Tahir memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa KPMG bertegas untuk berjumpa Najib yang juga pemegang saham tunggal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai pelaburan luar negara syarikat itu dalam Brazen Sky Limited.

Brazen Sky Limited adalah syarikat SPV yang ditubuhkan pada 12 Julai 2012 di British Virgin Islands bagi tujuan mendapatkan balik dana pelaburan milik 1MDB dan dikaitkan dengan ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho.

Menurut Johan, pada pertemuan malam itu, Najib memberitahu butiran pelaburan 1MDB di Brazen Sky tidak boleh didedahkan.

“Najib kemudian sama ada KPMG boleh menerima penjelasan itu dan adakah penjelasan berkenaan mencukupi bagi pihak KPMG untuk mengeluarkan Laporan Audit (yang tidak bersyarat),” katanya.

Johan bagaimanapun menjelaskan, KPMG memerlukan lebih banyak bukti bagi melengkapkan proses audit mengikut peruntukan sepertimana tertera dalam Standard Perakaunan Antarabangsa (ISA) dan Standard Laporan Kewangan (FRS).  

“Saya memaklumkan sekiranya pihak KPMG tidak dapat melengkapkan proses pengauditan pelaburan 1MDB maka, kami akan mengeluarkan laporan bertegur Disclaimer of Opinion terhadap akaun 1MDB.

“Najib kemudian menyuarakan kerisauan terhadap kelambatan penyediaan akaun dan beliau ingin mengetahui status audit 1MDB. Beliau juga bertanyakan mengapa KPMG tidak boleh menerima pengesahan yang dibuat oleh BSI Bank mengenai dana 1MDB bernilai USD2.3 billion. 

“Saya beritahu bahawa BSI Bank tidak memberikan butiran lengkap kepada KPMG untuk menyelesaikan mengaudit aset asas. Tanpa maklumat itu, KPMG tidak boleh menjalankan prosedur audit untuk mengesahkan bahawa penilaian berkenaan adalah betul,” katanya.

Ujar saksi itu, beliau turut memaklumkan Najib oleh kerana standard perakaunan mempunyai kuasa undang-undang, ketidakpatuhan kepadanya menunjukkan bahawa 1MDB juga tidak patuh kepada undang-undang.

Johan turut menerangkan kepada Najib mengenai keperluan KPMG untuk menandatangani akaun berkenaan.

“Najib kemudiannya bertanya kepada saya bagaimana untuk 1MDB mendapatkan maklumat itu dan Pengarah 1MDB Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin (ketika itu) turut meminta KPMG untuk berlaku adil dan tidak meminta sesuatu yang tidak boleh 1MDB sediakan. 

“Saya juga tidak faham mengapa pihak 1MDB enggan mendedahkan maklumat asas yang dikatakan adalah sulit. Tambahan juga tiada sebarang dokumen sokongan dikemukakan kepada saya pada ketika itu untuk menunjukkan maklumat itu adalah rahsia,”katanya.

Pada 31 Disember 2013, Johan memberitahu KPMG telah menerima notis penamatan perkhidmatan berkuat kuasa serta merta daripada Kementerian Kewangan Malaysia iaitu pemegang saham tunggal 1MDB.

“Notis ini menyatakan bahawa Tetuan KPMG ditamatkan perkhidmatan sebagai juruaudit 1MDB berkuatkuasa serta merta. Namun, Tetuan KPMG tidak tahu apa sebab utama perkhidmatan Tetuan KPMG sebagai juruaudit ditamatkan. Dalam notis tersebut juga memaklumkan bahawa Tetuan Deloitte Kassim Chan telah dinamakan bagi menggantikan Tetuan KPMG sebagai juruaudit untuk 1MDB,” kata Johan. 

Tambahnya, pihak KPMG ada menghantar surat bertarikh 6 Januari 2014 bagi memberi penjelasan mengenai mengapa KPMG tidak dapat menandatangani penyata kewangan 1MDB itu.

“Setelah surat ini dihantar kepada 1MDB, pihak kami tidak lagi berurusan dengan 1MDB. Namun, pihak kami ada berjumpa dengan pihak Deloitte untuk menjelaskan alasan-alasan mengapa KPMG tidak dapat menutup Penyata Kewangan 1MDB bagi 31 March 2013 atas dasar professional clereance,”katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 9 Mei ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya