PETALING JAYA: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil tiga agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi memberikan keterangan lanjut berhubung isu MySejahtera pada 21 April ini.
Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, agensi itu membabitkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) serta Agensi Keselamatan Siber Negara (Nacsa).
Katanya, PAC berpendapat bahawa perlu untuk memanggil lagi saksi lain.
“Ketiga-tiga agensi pada 21 April 2022, Khamis untuk hadir bagi memberikan keterangan dan penjelasan berhubung isu ini,” jelas kenyataan itu hari ini.
Terdahulu, Kah Woh memaklumkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin hari ini hadir di hadapan PAC bagi memberikan keterangan dan penjelasan dalam prosiding Pembangunan dan Perolehan MySejahtera.
Katanya, prosiding yang berlangsung selama tiga jam bermula 10 pagi itu, turut dihadiri Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Seri Asri Hamidon dan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Harjeet Singh serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Kewangan dan Kementerian Kesihatan.
Jelas beliau, fokus PAC adalah pemberian kontrak pembangunan aplikasi MySejahtera kepada syarikat KPI Soft Sdn. Bhd. pada April 2020.
“Selain itu, prosiding membabitkan pemberian kontrak secara rundingan terus kepada syarikat MySJ Sdn. Bhd. oleh kerajaan pada November 2021 serta status rundingan kerajaan dengan syarikat berkenaan.
“Pemilikan aplikasi MySejahtera termasuk modul aplikasi, source code aplikasi, harta intelek dan pangkalan data dan komitmen kerajaan untuk melindungi data-data peribadi rakyat dalam aplikasi MySejahtera.
“Entiti syarikat-syarikat yang terlibat dalam aplikasi MySejahtera iaitu MySJ Sdn. Bhd., KPI Soft Sdn. Bhd. dan entiti-entiti syarikat lain dalam pertikaian kes antara pemegang-pemegang saham MySJ Sdn. Bhd. di mahkamah,” katanya.
Menurut beliau, prosiding itu diadakan dengan menggunakan punca kuasa PAC di bawah Peraturan Mesyuarat 77(1)(d) dan 77(5) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat (PPMDR) serta Seksyen III, Perkara 11 (b), Pekeliling Am No. 2 (1982). – UTUSAN










