Model, kaedah PGM samar

Model, kaedah PGM samar

KERATAN laporan Utusan Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Model dan kaedah Perintah Gaji Minimum (PGM) susulan penguatkuasaan kadar baharu perlu diumumkan segera bagi membolehkan persediaan diambil dan mengelak masalah yang mungkin dihadapi selepas 1 Mei ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor berkata, ini kerana orang ramai masih belum jelas berhubung model dan kaedah PGM terutama soal sektor yang dikecualikan gaji minimum.

Malah, katanya, PGM itu perlu diwartakan secepat mungkin bagi membolehkan model dan kaedahnya diketahui dengan lebih jelas berbanding melalui laporan media sahaja.

“Setakat hari ini, kita pun tak tahu apa model, kaedah dan pengecualian kerana PGM belum diwartakan. Sepatutnya kerajaan kena keluar perintah itu, maka baru ia boleh jadi undang-undang, tetapi sekarang kita cuma tahu tarikh kuat kuasa.

“Kebiasaan juga mereka akan panggil orang berkepentingan untuk berbincang (model dan kaedah sesuai), tetapi sampai sekarang pun tak ada panggil lagi.

“Saya pun tak faham mengapa ini berlaku padahal dua minggu lagi (kadar gaji minimum) akan dilaksanakan, tetapi belum ada surat yang jelas ini akan berlaku. Kita pun tak tahu itu cakap-cakap politik atau apa.

“Jadi kita minta kerajaan buat secepat mungkin, baru kita boleh tahu industri dan sektor mana yang terlibat dan yang mana pula dikecualikan. Tetapi setakat ini pengecualian itu cuma rambang (tidak jelas) serta hanya melalui laporan dari media-media saja,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Pada Mac lalu, media melaporkan, Kementerian Sumber Manusia (KSM) sedang memperinci model serta kaedah pelaksanaan PGM 2022 termasuk menentukan jenis perusahaan, jenis pekerjaan dan penggajian yang boleh melaksanakan perintah gaji minimum RM1,500 secara berperingkat sebelum dibentang pada mesyuarat Jemaah Menteri akan datang.

Bagaimanapun, dalam satu sidang akhbar, Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan dilaporkan berkata, kerajaan memberi kelonggaran kepada beberapa sektor pekerjaan termasuk sektor tidak formal apabila pelaksanaan gaji minimum RM1,500 berkuat kuasa 1 Mei ini.

Menurut Kamarul Baharin, model dan kaedah PGM itu perlu diumumkan secepat mungkin bagi membolehkan pihak syarikat jelas dan membuat persedian lebih awal.

Katanya, ini kerana mereka yang terlibat sudah tentu perlu melalui penstrukturan semula kadar gaji susulan kenaikan gaji minimum itu.

“Kontraktor pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan di hospital dan sekolah pun masih belum jelas lagi sama ada kontrak mereka akan ditambah nilai atau tidak,. Jika kerajaan tak tambah nilai, jadi bagaimana mereka nak bayar pekerja di bawah.

“Secara asasnya memang majikan yang perlu bayar walaupun kerajaan tak tambah nilai kontrak, tetapi kalau kontrak tak bertambah macam mana mereka nak bayar.

“Sudahlah kebanyakan pekerja mereka itu semua warga tempatan, tetapi tidak dibayar kadar gaji minimum pula. Bagi orang lain mungkin tidak ada masalah, tetapi saya percaya M300 itu satu kenaikan paling banyak buat mereka,” ujarnya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kadar upah amah, Kamarul Baharin meminta kerajaan mengumumkan memorandum persefahaman yang dimeterai untuk lebih berterus terang terutama mengenai kadar upah.

Katanya, ini kerana kebanyakan kenyataan yang dikeluarkan bercanggah antara satu sama lain dan dalam masa sama dilihat belum ada kata putus.

“Namun, kalau kata betul kadar upah amah ikut gaji minimum selepas 1 Mei nanti, maka tak ada sebab kerajaan nak kecualikan industri lain daripada kadar RM1,500.

“Ini tak adil bagi pekerja-pekerja Malaysia apabila amah boleh dapat kadar RM1,500, tetapi pekerja tempatan ada yang perlu dikecualikan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN