MIPD lawat projek untuk pasti penyiapan ikut jadual

MIPD lawat projek untuk pasti penyiapan ikut jadual

Uggah Embas ketika melawat projek jejambat Batu 6, Jalan Penrissen, di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan (MIPD) akan melawat tapak projek yang sedang dilaksanakan bagi memastikan penyiapannya menepati jadual.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, adalah amat penting pemantauan atau penyeliaan ketat di tapak projek kerana dengan hanya bergantung kepada taklimat di pejabat ia tidak sama seperti melawat tapak di mana boleh melihat dan mengukur situasi sebenar.

“Jadi ini pendekatan MIPD dan kerajaan GPS negeri sekarang.

“Sekiranya ada masalah dan isu, kami dan JKR (Jabatan Kerja Raya) boleh berbincang dengan kontraktor terbabit untuk melihat dan mencari jalan untuk menyelesaikannya,” kata Uggah selepas meninjau dan mendengar taklimat mengenai perkembangan pembinaan Jalan Kuching-Samarahan di Sejingkat di sini hari ini.

Uggah yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan berkata, rakyat menaruh harapan tinggi kepada kementerian dan kerajaan untuk melaksanakan projek-projek berkenaan.

Ujarnya, kementerian mahu projek-projek itu disiapkan mengikut jadual untuk manfaat rakyat dan negeri.

Mengenai projek Jalan Hubungan Pantai Kuching-Samarahan, beliau berkata ia terdiri daripada tiga pakej.

Pakej pertama, katanya ialah pembinaan Jambatan Sejingkat yang mempunyai empat lorong merentasi Sungai Sarawak dengan kos RM365,737,131.

“Seterusnya ialah kerja-kerja menaik taraf Jalan Kampung Tanjung Bako sepanjang 7.5 kilometer dengan kos RM37,499,160.

“Yang ketiga ialah pembinaan jalan baharu sepanjang tujuh kilometer dari Kampung Tanjung Bako ke Jambatan Batang Samarahan dengan kos RM81,844,554.00,” katanya.

Uggah bagaimanapun melahirkan rasa tidak puas hati kerana terdapat pakej yang mengalami masalah.

“Tetapi kami akan menangani masalah yang timbul dan saya yakin kita akan dapat melakukannya.

“JKR mempunyai Prosedur Operasi Standard (SOP), strategi dan pengalaman untuk menanganinya,” kata Uggah.

Menurut Uggah, ketiga-tiga pakej itu disasarkan siap menjelang Mac 2025.

Selepas taklimat berkenaan Uggah diiringi timbalan menterinya Aidel Lariwoo dan Setiausaha Tetap MIPD Datu Safri Zainudin melawat projek jejambat di Batu 6 Jalan Penrissen berhampiran Kuching Sentral dan tapak dua projek cadangan lain.

Turut menyertai beliau ADUN Batu Kitang Lo Khere Chiang dan ADUN Kota Sentosa Wilfred Yap.

Bercakap kepada media, Uggah berkata projek jejambat Batu 4 di Jalan Penrissen sudah siap pembinaannya sementara dua lagi jejambat iaitu mading-masing di Batu 6 dan Batu 7 dijangka siap pada Jun tahun ini, manakala jejambat Di Batu 10 akan siap awal Mei ini.

Beliau berkata empat projek itu menelan kos berjumlah RM352,966, 210.

“Ketiga-tiga projek itu hampir siap dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kontraktor kerana berjaya menyiapkannya mengikut jadual.

“Kita mempunyai banyak projek di negeri ini untuk dilaksanakan dan dilaksanakan dan adalah Sangat kritikal untuk disiapkan tepat pada masanya.

“Saya juga sangat gembira dengan input JKR yang menyumbang kepada penyiapannya,” kata Uggah.

Sementara itu, Uggah berkata cadangan telah dibuat untuk membina laluan bawah tanah di Bulatan Matang di sini bagi melancarkan aliran trafik di kawasan itu.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN