Malaysia kutuk insiden bakar al-Quran di Sweden

Malaysia kutuk insiden bakar al-Quran di Sweden

WISMA PUTRA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia hari ini mengecam sekeras-kerasnya tindakan ekstrem oleh seorang pemimpin parti politik di Sweden yang membakar senaskhah al-Quran kelmarin.

Menurut kenyataan Wisma Putra, perbuatan keji sedemikian telah melampaui batasan dan garis norma hak kebebasan bersuara termasuk dalam isu pelaksanaan amalan beragama.

“Tindakan tersebut merupakan suatu usaha provokasi dan berniat menghasut kebencian yang mesti ditolak oleh semua pihak yang ingin hidup bersama dalam budaya damai,” katanya.

Media antarabangsa semalam melaporkan aksi pemimpin parti Stram Kurs berhaluan kanan anti-Islam, Rasmus Paludan bertindak biadab membakar kitab suci itu di bandar Linkoping.

Beliau malah dengan angkuh tidak menghiraukan bantahan sekumpulan 200 orang awam dari pelbagai agama yang mendesak pihak polis tempatan agar menghentikan perlakuan itu.

Pemimpin kelahiran Denmark yang berusia 40 tahun itu pernah mencetuskan kemarahan umat Islam apabila membakar al-Quran di Malmo, sebuah kota di selatan Sweden pada 2020.

Peguam hak asasi manusia yang progerakan gender songsang itu juga pernah mencampak kitab suci tersebut ketika demonstrasi jalanan di ibu kota Denmark, Copenhagen pada 2018.

Parti diasaskan tokoh ini pada 2017 lalu itu amat dikenali kerana pendirian tegar anti golongan imigran terutama pendatang Muslim profesional yang banyak memajukan ekonomi Sweden.

Mengulas lebih lanjut, Wisma Putra berkata, Malaysia menekankan kepentingan harmoni untuk penghapusan segala bentuk keganasan dan kebencian termasuklah gerakan Islamofobia.

“Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan komuniti antarabangsa bagi mencegah dan menghapuskan sentimen berkenaan selain pelampau agama,” tegas Kementerian Luar lagi.

Islamofobia merujuk kepada prasangka dan diskriminasi kepada penganut Islam yang mula popular selepas insiden serangan pengganas di Amerika Syarikat pada 11 September 2001.

Bagaimanapun pada 15 Mac lalu, Pertubuhan Bangsa Bersatu meluluskan sebulat suara resolusi khas yang mengisytiharkan tarikh itu sebagai Hari Memerangi Islamofobia Antarabangsa.

Tarikh tersebut dipilih bagi memperingati insiden serangan berdarah ekstremis ke atas jemaah Muslim menunaikan solat Jumaat di dua masjid di Christchurch, New Zealand pada 2019.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN