Majikan disiasat kediaman pekerja daif, kotor, berbahaya

Majikan disiasat kediaman pekerja daif, kotor, berbahaya

MOHD. Asri Abdul Wahab bertanyakan sesuatu kepada seorang pekerja asing yang ditemui ketika operasi bersepadu Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia di Butterworth, Pulau Pinang, hari ini. - FOTO/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Daif, kotor, berbahaya, mengancam nyawa dan tidak sesuai untuk diduduki oleh manusia. Selain lantai dan tangga besi yang hampir reput serta berlubang, tilam yang digunakan oleh penghuninya juga sangat nipis dan mereka terpaksa menggunakan kelambu kerana nyamuk yang banyak.

Itu gambaran mengenai sebuah asrama di kilang cerucuk besi yang menempatkan sekumpulan pekerja warga asing di sini hasil operasi bersepadu yang diketuai Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) hari ini.

Selain kilang cerucuk besi itu, sebuah penginapan di kilang berasaskan kotak juga diperiksa dalam operasi yang turut disertai Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) negeri, Imigresen, polis serta Jabatan Kesihatan negeri itu.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JTKSM, Mohd. Asri Abdul Wahab berkata, susulan operasi itu juga, pihaknya membuka enam kertas siasatan di bawah Seksyen 24D Akta 446 kerana gagal membuat sebarang permohonan mendapatkan perakuan penginapan terhadap pekerja mereka.

Beliau berkata, sabit kesalahan denda RM50,000 boleh dikenakan terhadap mereka bagi setiap kesalahan yang berjaya dibuktikan.

“Hasil pemeriksaan mendapati, kedua-dua majikan terbabit gagal menyediakan kemudahan sewajarnya kepada 34 pekerja yang terdiri daripada warga Bangladesh, Nepal dan Myanmar.

“Alasan mereka mudah iaitu tak tahu. Sedangkan, akta ini (446) digubal pada 2019 dan dikuatkuasakan pada 2020. Kami juga sudah membuat operasi merata-rata secara meluas. Mereka tak boleh cakap tak tahu. Mereka tahu, cuma mereka tak kisah,” katanya.

Mohd. Asri berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa mengetuai operasi penguatkuasaan bersepadu yang berlangsung selama lebih dua jam itu bermula pukul 9 pagi.

Menurut beliau, selain kesalahan di bawah JTKSM, beberapa kesalahan lain turut dikesan iaitu kilang dan jentera tidak berdaftar di bawah JKKP, tunggakan caruman dan tidak mendaftarkan pekerja asing (di bawah Perkeso) dan sebagainya.

Dalam pada itu katanya, JTKSM tegas dalam memastikan majikan dapat menjaga kebajikan pekerja terutamanya dari sudut penginapan terjaga.

“Dalam hal ini, kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana majikan yang degil dan akan mengheret mereka ke muka pengadilan jika didapati melakukan kesalahan berkenaan, ” katanya.

Tambah beliau, antara Februari 2021 hingga 20 April lalu, sebanyak 42,572 majikan telah diperiksa membabitkan sejumlah 175,876 buah penginapan.

Sepanjang pemeriksaan itu katanya, JTKSM membuka sebanyak 1,401 kertas siasatan dengan 148 daripadanya telah diambil tindakan pendakwaan membabitkan denda bernilai RM1.052 juta manakala 968 kertas siasatan lagi dikenakan kompaun berjumlah RM10.81 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya