PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian membabitkan penyerang Selangor FC, Faisal Halim disimbah asid di sini hari ini untuk tampil membantu siasatan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam melalui panggilan kecemasan berkaitan seorang pemain bola kebangsaan telah disimbar cecair dipercayai asid pada 5.51 petang hari ini.
Katanya, kejadian dikatakan berlaku ketika mangsa berada di sebuah pasar raya terkemuka di Damansara sini.
“Mangsa dirawat di sebuah hospital swasta di Petaling Jaya dan disahkan stabil.
“Orang ramai mempunyai maklumat berkenaan kes ini diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut berkenaan kes tersebut.
Terdahulu, media melaporkan penyerang Selangor FC, Faisal dipercayai disimbah asid dalam kejadian di pusat beli-belah di Damansara di sini hari ini.
Difahamkan, serangan itu menyebabkan Faisal mengalami kecederaan pada badan, tangan dan muka.
Susulan itu Faisal segera dibawa ke sebuah hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan.
Turut tular gambar dalam media sosial menunjukkan Faisal kelihatan menahan kesakitan di lokasi kejadian. – UTUSAN











