MAIPs salur RM44,100 bantu mangsa ribut - Utusan Malaysia

MAIPs salur RM44,100 bantu mangsa ribut

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyantuni mangsa-mangsa terlibat dengan ribut di sekitar Arau, Perlis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyalurkan sumbangan RM44,100 bagi membantu 13 mangsa yang kediaman mereka mengalami kerosakan akibat ribut di sekitar Arau, Rabu lalu.

Sumbangan tersebut disampaikan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang berkenan berangkat menyantuni mangsa-mangsa terlibat.

Keberangkatan baginda diiringi Ketua Bahagian Pengurusan Zakat MAIPs, Syed Aisam Syed Idris.

Nilai kerosakan dalam kejadian ribut tersebut antara RM400 hingga RM10,000.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor berkata, pihaknya telah mengatur gerak lapangan bagi melaksanakan taksiran kerugian dan turut mengadakan penyelarasan bersama agensi-agensi lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

“Pihak MAIPs turut merakam ucapan tahniah atas tindakan pantas amil kariah masjid terbabit yang memainkan peranan menyelaraskan pasukan atur gerak bersama pegawai MAIPs dan pemimpin masyarakat yang terlibat membantu.

“Selain itu, kita turut mengucapkan terima kasih kepada penyumbang zakat yang sentiasa menghulurkan sumbangan mereka untuk diuruskan MAIPs.

“Semoga sumbangan mereka dapat dimanfaat untuk membantu mangsa yang terkesan,” katanya.

Dalam kejadian Rabu lalu, sebanyak 21 buah rumah terlibat dengan ribut merangkumi kariah sekitar Jejawi, Sungai Adam, Kubang Gajah, Alor Ara, Guar Gajah, Kota Raja Arau, Jelempok dan Sena. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN