JAKARTA: Jumlah korban akibat banjir yang melanda dua pulau di Indonesia, termasuk destinasi pelancongan popular Bali, meningkat kepada 23 orang pada Jumaat, dengan lima lagi masih hilang, menurut pihak berkuasa.
Menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (BNPB), hujan lebat pada petang Selasa mencetuskan banjir dan tanah runtuh di seluruh Bali, di mana empat lagi mangsa ditemukan maut dan dua masih belum dapat dikesan.
Kematian terbaharu itu menambah jumlah yang sebelum ini dilaporkan iaitu 14 di Bali dan lima di pulau Flores.
Ketua BNPB, Suharyanto berkata, agensi itu mengagihkan bantuan termasuk makanan, pakaian dan katil kepada mangsa terjejas.
Beliau menganggarkan kerugian akibat bencana mencecah sekitar 25 bilion rupiah (RM6.39 juta).
Banjir kilat pada Isnin lalu melanda daerah Nagekeo di pulau Flores, di mana usaha pihak berkuasa untuk mencari tiga mangsa hilang terhalang oleh timbunan serpihan.
Musim monsun tahunan di Indonesia, biasanya antara November hingga April, sering membawa kejadian tanah runtuh, banjir kilat dan penyakit bawaan air.
Perubahan iklim menjejaskan corak ribut, termasuk tempoh musim, mengakibatkan hujan lebih lebat, banjir kilat dan angin kencang.
Banjir dan tanah runtuh di pulau Jawa pada Mac lalu meragut tiga nyawa dan meninggalkan lima lagi mangsa hilang selepas hujan lebat melanda 24 bandar.- AFP










