UNGA adakan undian tubuh negara Palestin bebas Hamas

UNGA adakan undian tubuh negara Palestin bebas Hamas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Perhimpunan Agung PBB (UNGA) pada Jumaat akan mengundi sama ada menyokong Deklarasi New York, satu resolusi yang bertujuan menghidupkan kembali penyelesaian dua negara antara Israel dan Palestin tanpa penglibatan Hamas.

Walaupun Israel selama hampir dua tahun mengkritik badan-badan PBB kerana gagal mengecam serangan Hamas pada 7 Oktober 2023, deklarasi yang dibentangkan oleh Perancis dan Arab Saudi itu tidak meninggalkan sebarang keraguan.

Deklarasi itu, yang secara rasmi dinamakan Deklarasi New York mengenai Penyelesaian Aman Persoalan Palestin dan Pelaksanaan Penyelesaian Dua Negara, menyatakan Hamas mesti membebaskan semua tebusan dan UNGA mengecam serangan yang dilakukan oleh kumpulan pejuang itu terhadap orang awam pada 7 Oktober 2023.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ia juga menyeru kepada tindakan kolektif untuk menamatkan perang di Gaza bagi mencapai penyelesaian konflik Israel-Palestin yang adil, aman dan berkekalan, berasaskan pelaksanaan berkesan penyelesaian dua negara.

Deklarasi itu, yang sudah menerima sokongan Liga Arab dan ditandatangani bersama pada Julai oleh 17 negara anggota PBB termasuk beberapa negara Arab, turut melangkah lebih jauh daripada sekadar mengecam Hamas, dengan berusaha menyingkirkan kumpulan itu sepenuhnya daripada kepimpinan di Gaza.

“Dalam konteks menamatkan perang di Gaza, Hamas mesti menamatkan pemerintahannya di Gaza dan menyerahkan senjatanya kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA) dengan penglibatan dan sokongan antarabangsa, selaras matlamat menubuhkan sebuah Negara Palestin yang berdaulat dan merdeka,” menurut deklarasi itu.

Undian ini diadakan sebelum sidang kemuncak PBB yang akan dipengerusikan bersama oleh Riyadh dan Paris pada 22 September di New York, di mana Presiden Perancis, Emmanuel Macron berjanji untuk secara rasmi mengiktiraf negara Palestin.

“Hakikat bahawa UNGA akhirnya menyokong satu teks yang secara langsung mengecam Hamas adalah penting.

“Walaupun orang Israel akan berkata ia terlalu sedikit dan terlalu lewat, kini sekurang-kurangnya negara-negara yang menyokong Palestin boleh menangkis tuduhan Israel mereka secara tidak langsung merestui Hamas.

“Ini memberi perisai terhadap kritikan Israel,” kata Pengarah PBB di International Crisis Group, Richard Gowan.

Selain Macron, beberapa pemimpin lain turut mengumumkan hasrat untuk secara rasmi mengiktiraf negara Palestin semasa sidang kemuncak PBB itu.

Langkah-langkah ini dilihat sebagai cara untuk meningkatkan tekanan terhadap Israel supaya menamatkan perang di Gaza, yang tercetus akibat serangan Hamas pada 7 Oktober 2023.

Deklarasi New York itu juga membincangkan mengenai penempatan misi penstabilan antarabangsa sementara ke wilayah yang musnah di bawah mandat Majlis Keselamatan PBB, dengan tujuan menyokong penduduk awam Palestin serta memudahkan penyerahan tanggungjawab keselamatan kepada PA.

Sekitar tiga perempat daripada 193 negara anggota PBB mengiktiraf negara Palestin yang diisytiharkan pada 1988 oleh kepimpinan Palestin dalam buangan.

Namun selepas dua tahun peperangan yang memusnahkan Gaza, selain perluasan penempatan Israel di Tebing Barat dan kenyataan terbuka pegawai Israel untuk merampas wilayah itu, kebimbangan meningkat tentang usaha mewujudkan sebuah negara Palestin yang merdeka dikhuatiri semakin mustahil.

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas juga kemungkinan dihalang daripada menghadiri sidang kemuncak PBB di New York selepas pihak berkuasa AS menyatakan mereka akan menolak permohonan visanya.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×