Lepasan SPM boleh bantu pergantungan pekerja asing - Utusan Malaysia

Lepasan SPM boleh bantu pergantungan pekerja asing

SYED HUSSAIN SYED HUSMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tercicir daripada memasuki institusi pengajian tinggi (IPT) boleh membantu mengurangkan pergantungan negara terhadap pekerja asing.

Presiden Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, masalah kekurangan tenaga kerja yang dialami ketika ini amat meruncing dan boleh diselesaikan menerusi penyertaan lepasan SPM yang tidak mahu melanjutkan pengajian lagi.

Katanya, masalah kekurangan pekerja ini menjejaskan usaha sektor swasta untuk membina semula perniagaan mereka terutamanya pada waktu ini negara memasuki fasa peralihan endemik.

“Tetapi malangnya rakyat tempatan termasuk lepasan SPM tidak berminat untuk mengisi kekosongan jawatan yang ada.

“Tanggapan bahawa majikan mengambil pekerja asing kerana kosnya murah adalah tidak benar sama sekali,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Beliau mengulas isu 260,000 lepasan SPM yang setiap tahun gagal menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi dan tidak diketahui kedudukan mereka sedangkan pada masa sama negara menghadapi masalah kekurangan pekerja.

Menurut Syed Hussain, kebanyakan kos yang ditanggung majikan untuk mengambil pekerja asing baharu boleh mencecah melebihi RM10,000.

Katanya, kos tersebut juga termasuk kos yang perlu dibayar jika majikan menggunakan khidmat ejen dan dianggarkan ejen mengenakan bayaran kira-kira RM2,000 untuk setiap pekerja asing.

“Perlu juga diingat di bawah dasar‘pengambilan kos sifar sebarang kos yang dibayar oleh pekerja sebelum datang ke Malaysia pada akhirnya hendaklah ditanggung oleh majikan di Malaysia.

“Sebagai contoh, kos yang perlu dibayar kepada ejen di Bangladesh oleh pekerja asing untuk datang ke Malaysia adalah sekitar RM15,000. Jumlah keseluruhan yang perlu dibayar majikan untuk mengambil pekerja asing Bangladesh mencecah RM 27,000 untuk setiap pekerja. Jika majikan menggunakan khidmat ejen kosnya boleh mencecah RM 29,000 untuk seorang pekerja,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menambah, majikan terpaksa bergantung kepada pekerja asing kerana pekerja tempatan tidak mahu mengisi kekosongan yang ada selain pekerja tempatan tidak bertahan lama.

“Ada sesetengah mereka berhenti selepas dua tiga bulan dan ada yang berhenti sepas diambil kerja kurang dari seminggu. Ada juga pekerja tempatan yang telah ditawarkan jawatan tetapi tidak langsung melaporkan diri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya