BENTONG: Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong dengan kerjasama Balai Polis Telemong membongkar sembilan kes kecurian motosikal apabila seorang suspek lelaki tempatan berusia 29 tahun ditahan di jalan raya di daerah ini.
Dalam kejadian pada 25 Mac lalu, pukul 2.30 petang, lelaki berkenaan ditahan ketika menunggang motosikal tiada nombor plat di bahagian depan dan belakang di sebatang jalan raya berdekatan balai polis tersebut.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar berkata, hasil pengakuan lelaki tersebut, polis berjaya membongkar sembilan kes kecurian motosikal sejak beberapa bulan lalu.
“Dua kes kecurian di bawah pentadbiran IPD Bentong manakala tujuh kes lagi di bawah pentadbiran IPD Jelebu di Negeri Sembilan. Polis telah membuat semakan rekod ke atas nombor casis dan enjin motosikal yang ditunggang lelaki tersebut dan mendapati kesan pengubahsuaian terhadap nombor tersebut sehingga tidak dapat dibaca dengan jelas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Zaiham, lelaki itu gagal mengemukakan sebarang dokumen dan tidak dapat memberikan keterangan tentang kesahihan pemilikan motosikal berkenaan.
Katanya, kesemua sembilan kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya, Mahkamah Bentong dan enam daripadanya telah mendapat arahan dituduh di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan di Mahkamah Bentong pada 12 April 2022.
“Sekiranya didapati bersalah boleh dipenjara selama tempoh tidak kurang setahun dan tidak melebihi tujuh tahun dan juga dikenakan denda. Tiga kertas siasatan lagi dituduh di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan dan sekiranya bersabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh sehingga tujuh tahun atau denda ataupun kedua-duanya.
“Satu kertas siasatan dituduh di bawah seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1995 sekiranya disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM 1,000 atau penjara bagi tempoh tidak lebih dari 3 bulan atau kedua-duanya,” katanya.
Beliau berkata, satu kertas siasatan lagi turut dibuka dengan tuduhan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan sekiranya didapati bersalah akan penjara selama tempoh boleh sehingga lima tahun dan juga dikenakan denda.
Zaiham selanjutnya menjelaskan, sekiranya kesalahan yang dimaksudkan itu kesalahan mencuri maka tempoh penjara boleh dilanjutkan sehingga 14 tahun dan bagi mana-mana satu kesalahan itu dilakukan kali kedua atau yang kemudian bolehlah juga dikenakan denda dan sebat.
“Suspek telah ditahan reman selama 10 hari sehingga 4 april 2022 dan dia (suspek) juga turut dikehendaki oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Jelebu. Masyarakat awam khususnya di bawah pentadbiran IPD Bentong agar tidak terjebak dengan aktiviti jenayah seperti mencuri motosikal dan sebagainya sambil polis berharap orang ramai membantu pencegahan berkenaan dengan memberi maklumat kepada IPD Bentong menerusi talian 092222222 atau mana-mana balai polis berdekatan,” jelasnya. – UTUSAN