Lelaki etnik Rohingya direman tujuh hari kes bunuh rakan serumah - Utusan Malaysia

Lelaki etnik Rohingya direman tujuh hari kes bunuh rakan serumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang lelaki etnik Rohingya direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes bunuh membabitkan rakan senegaranya dalam kejadian di Jalan Bukit Tembok di sini semalam.

Perintah reman terhadap suspek berusia 40 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret, Intan Syafinaz Ros’lin di Mahkamah Trafik Seremban. 

Perintah reman itu dikeluarkan bermula hari ini hingga 13 April depan. 

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan mayat seorang lelaki etnik Rohingya ditemui dengan kesan tikaman di bahagian perut dipercayai dibunuh oleh rakan senegara di sebuah rumah di Jalan Bukit Tembok di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, polis menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira pukul 10 pagi daripada orang awam.

“Sebaik tiba di lokasi, polis menemui satu mayat lelaki Rohingya berusia 19 tahun di bahagian lorong dapur menuju ke bilik dengan kesan tikaman di perut.

“Hasil siasatan awal mendapati, mangsa ditikam dengan menggunakan senjata tajam dan telah mati lebih kurang lima jam,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, mangsa difahamkan menumpang di rumah sewa suspek berusia 40-an sejak seminggu lalu. 

Bagaimanapun katanya, telah berlaku pergaduhan antara mangsa dan suspek yang tidak diketahui puncanya. 

“Jiran memaklumkan terdengar bunyi pergaduhan dari rumah suspek malam tadi (Selasa). Majikan suspek juga ada datang mencari suspek di rumah selepas dia tidak datang ke tempat kerja pagi tadi (Rabu),” katanya. 

Sementara itu Nanda berkata, suspek yang merupakan seorang buruh telah berjaya ditahan di sebuah kedai pakaian di Pulau Pinang oleh polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang kira-kira pukul 2 petang hari yang sama.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN