TAIPING: Seorang lelaki ditahan dan polis merampas tiga batang pokok ganja yang ditanam dalam pasu ketika serbuan di sebuah pondok di belakang rumah di Taman Menteri, Changkat Jering dekat sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, serbuan itu dilakukan pada pukul 3.45 petang manakala lelaki yang berusia 42 tahun itu ditahan y dalam pondok tersebut.
“Pemeriksaan awal menemukan tiga pasu dengan setiap satunya ditanam tumbuhan yang dipercayai pokok ganja berusia enam bulan dan daunnya boleh dituai pada usia sembilan bulan,” kata beliau dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping hari ini.
Menurut beliau, anggaran nilai rampasan kira-kira RM900 namun tidak termasuk tiga pokok ganja yang ditanam dalam pasu.
“Bersama lelaki itu polis menjumpai tiga peket lut sinar berisi daun kering dipercayai dadah jenis ganja seberat 16.58 gram dan enam tiub plastik kecil serta satu tiub straw berisi biji benih ganja dengan anggaran berat 4.54 gram,” kata beliau.
Kata beliau, lelaki yang mempunyai sembilan rekod jenayah membabitkan kesalahan kes dadah direman tujuh hari mulai semalam sehingga 20 April dan kes disiasat di bawah Seksyen 6 dan 6B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Menurut Osman, suspek membeli biji benih ganja itu secara dalam talian dan menanamnya di dalam pasu di dalam pondok yang terletak di belakang rumahnya.
Beliau berkata, suspek masih bujang, tinggal bersama ibunya dan lelaki itu telah menanam ganja itu menerusi YouTube dan Google.
“Polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung jual beli benih ganja secara dalam talian,” katanya. – UTUSAN