SABAK BERNAM: Menjelang Hari Raya Aidilfitri, pengguna lebuh raya tanpa tol iaitu Jalan Persekutuan 5 yang menghubungkan Klang – Tanjong Karang – Sabak Bernam di sini dijangka meningkat sehingga tiga kali ganda.
Lebih 100,000 kenderaan dijangka menggunakan laluan sepanjang 45 kilometer itu yang baharu dilancarkan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof pada 28 Mac lalu untuk perantau pulang ke kampung terutama di Bagan Datuk, Teluk Intan, Sitiawan dan Taiping.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, jumlah itu mencatatkan peningkatan sebanyak tiga kali ganda berbanding hari biasa di jalan yang menghubungkan dengan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) itu.
“FR5 yang sudah dinaik taraf sepenuhnya itu menjadi antara laluan utama pengguna Selangor dan Perak.
“Justeru, peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya akan berlaku dan mengundang kepada risiko kemalangan,” katanya selepas melancarkan Op Selamat 18 peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam di Kilometer 71 Jalan Teluk Intan-Klang di sini, hari ini.
Menurut beliau, pihaknya akan menjalankan pemantauan bagi membantu melancarkan perjalanan orang ramai pulang ke kampung.
Dalam pada itu, kata beliau, cuti pegawai dan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik ( BSPTD) IPD berkenaan dibekukan bagi membantu kelancaran Op Selamat.
“Cuti bahagian lain pula hanya 10 peratus dibekukan dan dilakukan secara penggiliran dalam satu masa,” katanya.- UTUSAN