PETALING JAYA: Jawatankuasa Pilihan Khas Pendidikan Parlimen kesal ekoran keengganan Kementerian Pendidikan memberikan kerjasama menjelaskan isu melibatkan kepentingan awam dan masa depan pendidikan negara.
Pengerusinya, Dr. Maszlee Malik berkata, keengganan Menteri Kanan Pendidikan, Dr. Radzi Jidin atau wakil untuk hadir menimbulkan persepsi bahawa mereka takut berhadapan dengan pihak Parlimen dan tidak profesional dalam menjalankan amanah.
Katanya, apapun alasan diberikan oleh pihak Menteri Kanan yang mengepalai Kementerian Pendidikan adalah tidak wajar, malah merendahkan kedudukan Parlimen.
“Hal yang mendukacitakan ini hanya menimbulkan tanggapan daripada kalangan rakyat bahawa ada sesuatu yang ingin disembunyikan oleh kementerian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Maszlee memaklumkan Jawatankuasa Pilihan Pendidikan Parlimen melalui Setiausaha Dewan Rakyat telah memanggil Menteri Kanan Pendidikan atau wakil ke mesyuarat itu yang berlangsung hari ini.
Jelas beliau, tujuan utama mesyuarat tersebut adalah untuk meminta Kementerian Pendidikan memberikan penjelasan berkaitan soalan berulang bagi sesi satu dan sesi dua Kertas Ujian Mendengar Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).
Katanya, ia telah menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat, terutamanya para ibu bapa, calon-calon SPM dan guru-guru.
“Pihak Jawatankuasa Pilihan Pendidikan Parlimen telah menerima banyak aduan berkaitan perkara tersebut dan meminta agar isu ini dibawa ke parlimen mewakili suara rakyat,” jelasnya.
Bagaimanapun Maszlee berkata, malangnya setelah surat panggilan mesyuarat dikeluarkan oleh Dewan Rakyat, pihak kementerian melalui wakil mereka telah menolak untuk hadir.
“Mewakili Jawatankuasa Pilihan Pendidikan Parlimen saya ingin melahirkan rasa kesal atas keengganan Kementerian Pendidikan memberikan kerjasama untuk menjelaskan isu yang melibatkan kepentingan awam dan masa depan pendidikan negara.
“Kepada para ibu bapa, anak-anak calon SPM dan para guru yang telah meminta pihak Jawatankuasa Pilihan Pendidikan Parlimen untuk kami dapatkan penjelasan daripada Menteri Kanan dan kepemimpinan kementerian, kami memohon maaf.
“Kami telah melakukan yang terbaik mewakili suara anda semua dan suara rakyat. Namun malang sekali pihak kementerian tidak menghormati suara rakyat dan kemuliaan Dewan Rakyat,” tegasnya. – UTUSAN










