Abdul Kadir menang saman fitnah, Aliff Syukri perlu bayar RM250,000

Abdul Kadir menang saman fitnah, Aliff Syukri perlu bayar RM250,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan ahli perniagaan, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman untuk membayar ganti rugi RM250,000 kepada Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir selepas didapati memfitnah bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan itu.

Hakim Roslan Mat Nor turut memerintahkan Aliff Syukri yang dinamakan sebagai defendan membayar kos sebanyak RM50,000.

Mahkamah turut memerintahkan defendan sama ada melalui pegawai, ejen atau mana-mana pihak yang bertindak bagi pihaknya dihalang daripada menerbitkan, menyebarkan atau menyebabkan diterbitkan apa-apa kenyataan berkaitan perkara diadukan.

“Defendan juga dikehendaki memadamkan semua kenyataan fitnah terhadap plaintif daripada semua akaun media sosial (milik defendan) dalam tempoh tujuh hari dari tarikh perintah ini.

“Defendan perlu memberi aku janji bertulis bahawa tidak akan menyebabkan atau menyiarkan sebarang fitnah terhadap plaintif,” katanya ketika membaca penghakiman ringkasnya.

Abdul Kadir memfailkan saman itu pada 6 September 2023 dengan mendakwa Aliff Syukri yang terbabit dalam industri hiburan dengan jumlah pengikut yang ramai di platform media sosial iaitu Facebook, Instagram dan lain-lain mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya di Instagram dan Facebook pada 2 Julai 2023.

Beliau turut mendakwa kenyataan itu membawa maksud antaranya beliau berhutang dengan defendan berjuta-juta ringgit, selain gambar plaintif yang diletakkan pada kenyataan itu mengundang komen negatif daripada pembaca.

Oleh itu, Abdul Kadir menuntut antaranya defendan membayar RM70 juta untuk libel (fitnah bertulis) dan ganti rugi yang dinilai oleh mahkamah.

Selain perintah supaya defendan memberikan aku janji bertulis untuk tidak akan menyiarkan sebarang fitnah terhadap plaintif serta permohonan maaf tanpa syarat yang disiarkan di akaun media sosial defendan, dalam tempoh tujuh hari dari tarikh perintah ini.

Sementara itu, Aliff Syukri menerusi pernyataan pembelaannya mendakwa beliau sudah membuat bayaran pelaburan sebanyak RM30 juta bagi mematuhi perjanjian usaha sama bertarikh 26 November 2018 yang melibatkan plaintif, defendan serta dua syarikat.

Pihak-pihak di dalam perjanjian usaha sama gagal membuat pembayaran wang yang dilaburkan olehnya dan segala pelanggaran janji sedemikian termasuklah aku janji yang diberikan plaintif kepadanya adalah di dalam pengetahuan plaintif sendiri.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN