Kes basikal lajak: Kerajaan tidak campur tangan keputusan mahkamah 

Kes basikal lajak: Kerajaan tidak campur tangan keputusan mahkamah 

WEE Ka Siong (tengah) menyantuni sebahagian pengamal media pada majlis berbuka puasa bersama Menteri Pengangkutan di Forest City Golf Resort, Iskandar Puteri di sini. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan mengambil pendirian menghormati keputusan Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman penjara enam tahun kepada pemandu wanita terlibat nahas basikal lajak di Johor Bahru, baru-baru ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, perkara itu perlu dilihat dalam konteks tiga cabang pentadbiran negara iaitu perundangan, eksekutif dan kehakiman.

Sehubungan itu, katanya, masyarakat perlu menilai dan memahami perkara yang berlaku melibatkan kes berkenaan daripada perspektif tersebut.

“Kita perlu faham, Malaysia ada tiga cabang kuasa iaitu penggubalan undang-undang di Parlimen, kuasa eksekutif di pihak kerajaan dan terakhir adalah sistem kehakiman. Dalam konteks ini, undang-undang telah digubal dan dikuat kuasa setelah diwarta.

“Selaku Menteri Pengangkutan, saya menghormati sistem kehakiman negara. Biar sistem itu berjalan kerana tidak elok jika kuasa eksekutif mahu mengajar bagaimana kuasa kehakiman berjalan, tidak seperti itu.

“Jadi saya rasa (berhubung kes ini), kita perlu lihat dalam konteks itu,” katanya dalam sidang akhbar  selepas menghadiri program berbuka puasa di Forest City Golf Resort, di sini malam tadi.

WEE KA SIONG

Sementara itu, Ka Siong berharap kempen keselamatan jalan raya dapat terus dipertingkat bagi memastikan tragedi berkenaan tidak berulang.

“Kerajaan telah meminda dan memperkasa Akta Pengangkutan Jalan 1987 pada tahun 2020 dengan memperuntukkan hukuman lebih berat kepada pesalah jalan raya seperti memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah, berbahaya serta aktiviti mat rempit dan basikal lajak.

“Dengan rasa simpati pada semua terlibat, kita perlu ambil iktibar apa yang berlaku dan sedar risiko dihadapi pengguna jalan raya. Jadi kita kena ambil inisiatif dan merancakkan kempen keselamatan jalan raya serta meningkatkan penguatkuasaan,” katanya.

Pada 13 April lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Datuk Abu Bakar Katar menjatuhkan hukuman penjara enam tahun serta denda RM6,000 kepada Sam Ke Ting, 27 yang mana jika gagal bayar dikenakan tambahan enam bulan penjara.

Selain itu, wanita berkenaan juga hilang kelayakan lesen memandu selama tiga tahun sebaik sahaja selesai menjalani tempoh hukuman didakwa memandu kereta di Jalan Lingkaran Dalam secara melulu atau dengan berbahaya hingga menyebabkan kematian lapan penunggang basikal pada pukul 3.20 pagi, lima tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya