Bayaran konsert This Is UNIC masih tertunggak, Fitri Haris buat laporan polis - Utusan Malaysia

Bayaran konsert This Is UNIC masih tertunggak, Fitri Haris buat laporan polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penyanyi dan anggota kumpulan nasyid terkenal, Fitri Haris tampil membuat laporan polis susulan dakwaan pihak penganjur konsert This Is UNIC masih gagal melunaskan baki bayaran kepada kumpulannya, UNIC meskipun lebih empat bulan acara itu berlangsung.

Menerusi hantaran di Instagram, Fitri atau nama sebenarnya Mohamad Fitri Mohamad Haris, 41, memaklumkan pihaknya telah memberi tempoh tertentu kepada penganjur sebelum mengambil tindakan lanjut termasuk melalui saluran undang-undang.

“Satu laporan polis dibuat beberapa bulan lalu sebelum saya berangkat ke UK (United Kingdom) bagi tindakan selanjutnya.

“Berkenaan konsert This Is UNIC di Idea Live, urusan lain di peringkat pending LOD (surat tuntutan) dan atas budi bicara kami @unicofficials,” katanya.

Menurut Fitri, sehingga kini baki bayaran konsert tersebut masih belum diselesaikan sepenuhnya walaupun penaja telah melunaskan tajaan dan hasil jualan tiket juga telah diperoleh pihak penganjur.

“Konsert dah berlalu lebih empat bulan, bayaran masih belum diselesaikan sepenuhnya, penaja selesai, duit diambil, duit tajaan, duit tiket. Selesaikan cepat, seminggu notis,” ujarnya.

Tambah beliau, dia bersama anggota UNIC telah memberikan komitmen sepenuhnya bagi menjayakan konsert berkenaan, namun usaha mereka seakan tidak dihargai apabila isu bayaran masih berlarutan tanpa penyelesaian.

Dalam masa sama, Fitri mengakui masih memberi ruang kepada pihak penganjur untuk menyelesaikan perkara tersebut secara baik demi menjaga kebajikan keluarga mereka.

“Kami bekerja pagi, petang, siang dan malam menghiburkan serta berkongsi kebaikan. Semoga Allah buka hati penganjur konsert @thisisunic dan saya masih ada perasaan untuk anak dan isteri kamu,” katanya.

Terdahulu, konsert This Is UNIC dianjurkan sempena meraikan lebih dua dekad perjalanan seni kumpulan nasyid popular itu dan telah berlangsung di Idea Live Arena pada 20 Disember 2025.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN