BEIJING: Suasana perlumbaan separuh maraton di Beijing menjadi tumpuan dunia teknologi apabila sebuah robot muncul juara, sekali gus memecahkan rekod terbaik manusia dengan kelebihan hampir tujuh minit.
Robot pemenang yang dikenali sebagai Lightning, dibangunkan oleh pengeluar telefon pintar China Honor, bukan sahaja menewaskan pelari manusia terbaik pada hari tersebut, malah memecahkan rekod dunia yang baharu ditetapkan bulan lalu.
Lightning menamatkan larian sejauh 21 kilometer (km) dalam masa 50 minit 26 saat, lebih pantas berbanding rekod 57 minit 20 saat yang dicatat pelari Uganda, Jacob Kiplimo.
Lebih mengejutkan, prestasi itu juga jauh mengatasi juara robot tahun lalu yang mengambil masa dua jam 40 minit untuk menamatkan perlumbaan.
Dalam perkembangan teknologi yang pesat, hampir separuh daripada peserta robot tahun ini berlari secara autonomi tanpa kawalan manusia, menavigasi laluan perlumbaan yang berliku dengan sendiri.
Honor, anak syarikat Huawei, turut menguasai podium apabila tiga tempat teratas dimenangi oleh robot autonominya, dengan semua mencatatkan masa rekod dunia.
Jurutera Honor, Xioadi Du berkata, robot yang mencatat rekod terbaik itu dibangunkan secara intensif sejak tahun lalu.
Katanya, Lightning dilengkapi dengan kali lebih panjang sekitar 90 hingga 95 sentimeter (cm) bagi meniru bentuk pelari elt manusia.
Robot itu juga dipasang dengan teknologi penyejukan cecair untuk membantu mengawal haba tinggi yang terhasil daripada motor kaki yang besar dan berkuasa.
Tidak semua robot bertanding menunjukkan prestasi seperti Lightning, malah masih terdapat beberapa robot yang gagal menahan tekanan perlumbaan.
Dalam satu insiden, sebuah robot tersadung dan rebah sebelum sempat melepasi garisan permulaan, selain terdapat juga kesilapan navigasi sehingga menyebabkan pelanggaran penghadang atau melencong ke arah laluan berlainan.
Bagaimanapun, kualiti keseluruhan robot humanoid yang dipamerkan menunjukkan peningkatan ketara berbanding perlumbaan sama tahun lalu.- AGENSI










