LANGKAWI: Polis berjaya menemukan sebuah kereta yang dilaporkan hilang di Selangor selepas menahan tiga individu dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri kenderaan di sini, Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, pihaknya menahan tiga individu tersebut di sebuah rumah dalam satu operasi di Kampung Ulu Melaka di sini, pada pukul 7 pagi.
“Hasil pemeriksaan kenderaan di pekarangan rumah tersebut menemukan sebuah kereta jenis Toyota Vios dengan nombor pendaftaran WPH 4277 dan berwarna kuning emas.
“Pemeriksaan lanjut nombor pendaftaran kereta berkenaan mendapati kenderaan tersebut dilaporkan hilang berdasarkan satu laporan polis yang dibuat di Salak Selatan, Selangor,” katanya di sini hari ini.
Menurut Shariman, tiga individu berusia 16 hingga 32 tahun yang ditangkap itu negatif dadah dalam ujian saringan air kencing.
“Tangkapan dan rampasan tersebut diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
“Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN