Ke Ting dapat peluang terakhir kemuka rayuan

Ke Ting dapat peluang terakhir kemuka rayuan, dibebas dengan jaminan RM10,000

SAM Ke Ting hadir di Mahkamah Rayuan untuk permohonan kebenaran merayu berhubung kes memandu melulu hingga menyebabkan kematian lapan penunggang basikal lajak. - UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerani wanita, Sam Ke Ting mendapat peluang terakhir di Mahkamah Rayuan untuk merayu hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 atas kesalahan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan penunggang basikal lajak remaja, lima tahun lalu.

Jika wanita itu terlepas peluang untuk mendapat kebenaran merayu, dia diperintah menjalani hukuman penjara bermula hari ini dan perlu membayar denda yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi, minggu lalu.

Ke Ting perlu mendapatkan kebenaran untuk mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan kerana pendakwaan terhadapnya bermula di Mahkamah Majistret yang mana rayuan sepatutnya berakhir di peringkat Mahkamah Tinggi.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk P. Ravinthran sebulat suara turut membenarkan Ke Ting mengemukakan enam persoalan undang-undang dalam rayuan yang akan didengar pada satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Lee Heng Cheong dan Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali turut membenarkan Ke Ting, 27, dibebaskan dengan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut membenarkan permohonannya agar pelaksanaan hukuman penjara dan denda ditangguhkan sementara menunggu rayuan didengar dan diputuskan.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup berkata, pihaknya tidak membantah permohonan kebenaran merayu dan permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman.

Sementara itu, mahkamah turut membenarkan permohonan peguam Ravinder Singh yang mewakili Majlis Peguam untuk bertindak sebagai sahabat mahkamah (Amicus Curiae) dalam rayuan kelak.

Bagaimanapun, panel itu menolak permohonan MCA dan peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah untuk bertindak sebagai sahabat mahkamah mewakili Persatuan Alumni Rumpun Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (UM).

Pada prosiding itu, peguam Muhammad Faizal Mokhtar ketika mengemukakan permohonan memaklumkan bahawa notis usul rayuan akan difailkan dalam tempoh 14 hari.

Dalam pada itu, Hakim Ravinthran menarik perhatian bahawa mahkamah belum menerima nota prosiding Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun, Muhammad Faizal memaklumkan, beliau tidak berkesempatan untuk mendapatkannya daripada pihak mahkamah kerana kesuntukan masa ekoran pejabat kerajaan di Johor tutup pukul 3 petang pada Khamis lalu.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan lisan peguam bela untuk memasukkan persoalan undang-undang dalam notis usul rayuan yang akan difailkan nanti.

Antara persoalan undang-undang itu ialah sama ada keterangan bersumpah tertuduh boleh diterima sebagai penjelasan kepada pembelaannya dan turut disokong dengan keterangan lain.

Persoalan lain ialah sama ada intipati utama kesalahan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 khususnya `pencipta situasi merbahaya’ berpunca daripada tertuduh atau kumpulan basikal.

Ia termasuk sama ada wujud beban atas tertuduh untuk membuktikan tanggungjawab untuk memandu dengan lebih berhati-hati berbanding kumpulan basikal yang menghalang laluan utama.

Sementara itu, ketika ditemui pihak media di luar mahkamah, Muhammad Faizal menyampaikan pendirian anak guamnya yang menyatakan kes tersebut bukan melibatkan isu perkauman, sebaliknya bersifat sejagat.

Ujarnya, Ke Ting meluahkan kekecewaan kerana wujud pihak yang menyalahkan sistem kehakiman ketika dia memenangi kes di mahkamah manakala pihak lain menuduh sistem kehakiman telah rosak.

Muhammad Faizal berkata, Ke Ting turut menyedari kesnya diperdebatkan oleh masyarakat dan berterima kasih kepada pihak yang menyokongnya sambil memaklumkan dia sihat dan dijaga dengan baik ketika ditahan di penjara di Johor.

Ujar peguam, wanita itu berkali-kali melahirkan rasa simpati terhadap keluarga mangsa yang kehilangan nyawa namun dia juga menyatakan kebebasannya sangat berharga dan dibayar dengan pemenjaraan.

Ke Ting memohon kebenaran merayu keputusan Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Johor pada Rabu lalu yang mengenepikan keputusan Mahkamah Majistret mengekalkan keputusan untuk melepas dan membebaskannya daripada kesalahan itu.

Wanita itu turut diperintah menjalani hukuman penjara enam bulan lagi jika gagal membayar denda selain hilang kelayakan memandu selama tiga tahun yang berkuat kuasa selepas selesai hukuman penjara.

Hakim Datuk Abu Bakar Katar memutuskan demikian atas alasan perbuatan responden yang memandu cara melulu atau merbahaya menyebabkan kehilangan lapan nyawa malah kesalahan yang dilakukannya adalah berat.

Dalam tragedi berdarah yang berlaku di Jalan Lingkaran Dalam pada 3.20 pagi 18 Februari 2017, lapan remaja menaiki basikal lajak terkorban dengan empat parah manakala empat lagi turut tercedera dirempuh kereta wanita itu.

Remaja yang maut ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya