enakmen halal

Kerajaan Selangor mahu pinda Enakmen Halal Negeri

MOHD. Zawawi Ahmad Mughni (duduk, tengah) bersama peserta sesi dialog di Bangunan SSSAS di Shah Alam, Selangor, malam tadi. - UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor berhasrat meminda Enakmen Halal Negeri bagi memenuhi keperluan semasa industri makanan serta mencegah pemalsuan tanda halal di negeri ini.

Exco Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni berkata, peruntukan dalam enakmen tersebut ketika ini terlalu ringkas dan hanya fokus kepada industri makanan, justeru pindaan diperlukan untuk meluaskan skopnya.

“Pindaan enakmen ini dibuat supaya bersesuaian dengan sektor perubatan, pelancongan, instrumen kewangan dan lain-lain lagi. Namun butiran baharu pindaannya akan dibentangkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) nanti.

“Berkenaan pemalsuan tanda halal, kita sedar ada yang sengaja tampal pada produk mereka tanpa melalui permohonan dan prosedur yang betul daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya.

Beliau berkata demikian, selepas menghadiri Majlis Sesi Dialog Halal serta Iftar Ramadan antara kerajaan negeri dengan pengusaha Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), malam tadi.

Mohd. Zawawi menambah, pindaan tersebut diharap dapat menangani masalah pemalsuan tanda halal lebih efisien.

Menurutnya, kini penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sentiasa melakukan pemantauan terhadap penjualan produk menggunakan logo tanda halal sementara pengguna boleh menggunakan aplikasi disediakan Jakim untuk membuat pengesahan sama ada tanda halal berdaftar ataupun tidak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN