KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan segera meluluskan peruntukan pembelian bot atau enjin sangkut bagi membolehkan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Nangkawangan, Nabawan, dekat sini, ke sekolah dalam keadaan selamat.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Pegawai Daerah Nabawan boleh berhubung terus dengan Jabatan Ketua Menteri (JKM) bagi mendapatkan peruntukan pembelian bot atau enjin sangkut dan perahu.
“Sekiranya kemudahan bot yang diperlukan pada masa ini, insya-Allah kita boleh luluskan dengan segera. Jadi, saya minta pegawai daerah berhubung segera dengan JKM,” katanya selepas majlis berbuka puasa bersama dewan-dewan perniagaan, semalam.
Baru-baru ini tular sekumpulan pelajar SK Nangkawangan terpaksa menaiki rakit dan zip line untuk menyeberangi sungai setelah jambatan yang menjadi satu-satunya laluan perhubungan untuk ke sekolah terputus akibat banjir pada 5 Mac lalu.
Murid daripada Kampung Nangkawangan dan Kampung Layon menaiki rakit dan zip line itu sejak Mac lalu kerana bantuan bot yang dijanjikan disediakan pada 5 April lepas belum diterima.

Hajiji berkata, jambatan yang terputus akibat banjir baru-baru ini akan dibina baharu bagi kemudahan murid sekolah serta penduduk di kawasan sekitarnya.
Menurut beliau, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Kurup juga telah menyatakan komitmen untuk memastikan jambatan yang putus itu dibina semula.
Pembinaan semula jambatan tersebut akan memudahkan penduduk kampung sekitar yang kini terputus laluan perhubungan. – UTUSAN