Kerajaan Malaysia sudah berusaha membantu Nagaenthran sejak dahulu

Kerajaan Malaysia sudah berusaha bantu Nagaenthran sejak dahulu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia menghormati sistem perundangan Singapura berhubung seorang tahanan warganegara Malaysia, Nagaenthran K Dharmalingam dijatuhkan hukuman mati pada awal pagi ini.

Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura mengikuti rapi perkembangan kes ini sejak beliau ditahan pada 22 April 2009. 

Katanya, pihak Suruhanjaya Tinggi menjalankan tanggungjawab sewajarnya dalam memberikan bantuan konsular kepada Nagaenthran sepanjang berada dalam tahanan bagi memastikan hak dan kebajikan beliau sentiasa terpelihara.

“Kerajaan Malaysia melalui Perdana Menteri dan Menteri Luar minggu ini sekali lagi mengutuskan surat kepada rakan sejawat mereka di Singapura sebagai usaha bagi memohon kerajaan negara itu menimbang dan meringankan hukuman yang dikenakan ke atas beliau. 

“Surat tersebut turut menyatakan keterbukaan Kerajaan Malaysia untuk berbincang dengan Kerajaan Singapura bagi melaksanakan Program Pemindahan Banduan Antarabangsa di antara Malaysia-Singapura,” katanya hari ini.

Kenyataan itu menyebut, kerajaan telah berusaha membantu Nagaenthran sejak dahulu dan pada November 2021, Perdana Menteri dan Menteri Luar Negeri menghantar surat pertama kepada kerajaan Singapura. 

Pada bulan berikutnya, katanya, Yang di-Pertuan Agong juga mengutuskan warkah kepada Presiden Singapura bagi meringankan hukuman ke atas Nagaenthran.

“Kerajaan Malaysia merakamkan penghargaan di atas maklum balas yang dikemukakan Kerajaan Singapura dan menghormati sistem perundangan negara itu.

“Dalam masa yang sama, Kerajaan Malaysia juga merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Singapura atas bantuan yang diberikan sepanjang tempoh tahanan dan perbicaraan Nagaenthran,” katanya.

Jelas kenyataan tersebut, Jemaah Menteri juga sedia maklum akan pelaksanaan hukuman mati yang dilaksanakan ke atas Nagaenthran seterusnya berterima kasih di atas penglibatan pertubuhan-pertubuhan serta organisasi bukan kerajaan yang berusaha supaya pelaksanaan hukuman mati ke atas Nagaenthran dapat dikurangkan, selain inisiatif untuk memansuhkan hukuman mati.

KLN pada masa sama merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Nagaenthran dan Kementerian melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura akan terus menghulurkan bantuan konsular sewajarnya kepada ahli keluarga beliau.

Nagaenthran ditahan pada 2009 kerana mengedar sebanyak 42.72 gram heroin ke negara itu yang mempunyai beberapa undang-undang dadah paling ketat di dunia. –UTUSAN

 

 

 

 

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya