PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mengambil maklum isu membabitkan dominasi kartel terhadap industri penternakan ayam di seluruh negara, sepertimana didedahkan Utusan Malaysia. Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, pihaknya mengambil cakna dengan isu tersebut.
“Kita di MAFI akan ambil cakna dengan perkara ini,” katanya ringkas kepada pemberita selepas merasmikan Program My Best Buy Aidilfitri 2022 di sini hari ini.
Muka depan Utusan Malaysia hari ini melaporkan, campur tangan politik sejak sekian lama dalam isu membabitkan dominasi kartel terhadap industri penternakan ayam di seluruh negara menyebabkan pihak terbabit terus bermaharajalela.
Mengulas lanjut, Nik Muhammad Zawawi bagaimanapun menegaskan, kenaikan ayam secara umumnya bukan disebabkan kartel.
Beliau memaklumkan, jika dibandingkan dengan negara-negara lain di Asia Tenggara, harga ayam di Malaysia dijual pada harga lebih rendah.
Beliau bagaimanapun tidak menolak wujud kenaikan harga yang ketara sejak kebelakangan ini.
“Insya-Allah kerajaan akan mengambil pendekatan yang berbagai-bagai. Kita tahu sebelum ini kita beri skim subsidi kepada makanan ayam.
“Kita tengok baru-baru ini harga gaji minimum telah dinaikkan kepada RM1,500 jadi ia akan seimbangkan dan Insya-Allah kerajaan akan tengok perkara ini supaya kenaikan harga barang ini seimbang dengan pendapatan yang diperolehi oleh penduduk di negara kita,” katanya. – UTUSAN