PETALING JAYA: Perdana Menteri meminta umat Islam tidak lupa mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan sepanjang menyambut kedatangan Ramadan mulai hari ini.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana meskipun negara telah memasuki fasa peralihan ke endemik pada 1 April lalu, sekali gus membenarkan umat Islam menunaikan solat berjemaah tanpa penjarakan fizikal di semua masjid dan surau tetapi pematuhan kepada beberapa SOP perlu diteruskan.
“Pada Ramadan tahun ini, umat Islam dapat kembali merapatkan saf untuk menunaikan solat fardu dan tarawih secara berjemaah, serta menyemarakkan program ihya Ramadan, tertakluk kepada ketetapan pihak berkuasa agama negeri.
“Ramai yang ingin pulang ke kampung halaman untuk menyambut Ramadan kali ini kerana tidak berpeluang menyambutnya pada Ramadan yang lepas.
“Walaupun kita diberikan kelonggaran, tetapi pemakaian pelitup muka di tempat awam masih diwajibkan. Jangan leka dan terus mengamalkan kawalan kendiri,” kata Perdana Menteri dalam ucapan khas sempena menyambut Ramadan 1443 Hijrah.
Ismail Sabri turut meluahkan rasa bersyukur apabila dapat menyambut bulan Ramadan seperti biasa sebelum Covid-19 melanda dua tahun lalu.

“Sepanjang kita diuji dengan pandemik Covid-19, umat Islam di Malaysia tidak dapat mengimarahkan masjid seperti menganjurkan majlis berbuka puasa dan moreh, manakala solat fardu dan tarawih berjemaah terikat dengan SOP yang ketat.
“Alhamdulillah, kita kini dalam fasa peralihan ke endemik, yang membolehkan Keluarga Malaysia kembali kepada kehidupan normal,” katanya.
Pada masa sama, beliau menyifatkan Ramadan ini sebagai peluang untuk menginsafi diri, mengumpul pahala dengan memperbanyakkan amalan bersedekah.
Terdahulu, masjid-masjid di seluruh negara dipenuhi jemaah menunaikan solat sunat Tarawih, malam pertama ini, menandakan bermulanya bulan Ramadan.
