Tentera Russia, China berlatih ‘musnahkan kapal selam musuh’ - Utusan Malaysia

Tentera Russia, China berlatih ‘musnahkan kapal selam musuh’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Tentera Laut Russia dan China telah melaksanakan latihan bersama untuk mengesan dan memusnahkan sebuah kapal selam musuh di Laut Jepun, menurut kenyataan Kementerian Pertahanan Russia pada Rabu.

Tindakan itu dibuat hanya beberapa hari selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, mengarahkan dua kapal selam nuklear AS menghampiri perairan Russia.

Latihan itu melibatkan pesawat anti-kapal selam Y-8 milik China dan pesawat Il-38 milik Armada Pasifik Russia, selain kru helikopter dari kedua-dua negara.

“Hasil daripada tindakan bersama yang berkesan, kapal selam ‘musuh’ berjaya dikesan dan dimusnahkan secara simulasi.

“Selepas menyelesaikan tugasan anti-kapal selam, kru kapal Russia dan China saling mengucapkan terima kasih atas kerjasama yang produktif,” kata kementerian tersebut.

Trump pada Jumaat lalu berkata beliau mengarahkan dua kapal selam nuklear AS bergerak menghampiri Russia sebagai tindak balas terhadap kenyataan provokatif oleh bekas Presiden Russia, Dmitry Medvedev, yang menyentuh risiko perang antara kuasa nuklear dunia itu.

Kremlin dalam kenyataannya minggu ini cuba meredakan ketegangan dengan mengatakan kapal selam AS sememangnya sentiasa dalam keadaan bersiaga tempur, dan mengingatkan bahawa semua pihak perlu sangat berhati-hati dalam menggunakan retorik berkaitan nuklear.

Insiden ini berlaku dalam keadaan geopolitik yang tegang, ketika Trump mengancam untuk mengenakan sekatan baharu terhadap Russia dan negara pembeli minyaknya termasuk India dan China sekiranya Presiden Vladimir Putin tidak bersetuju untuk menamatkan perang di Ukraine yang telah berlarutan selama tiga setengah tahun menjelang Jumaat ini.

Latihan anti-kapal selam tersebut merupakan sebahagian daripada siri latihan ketenteraan maritim lebih besar yang dijalankan bersama oleh Russia dan China sepanjang minggu lalu.

Kedua-dua negara itu telah menandatangani perjanjian kerjasama strategik tanpa had tidak lama sebelum Russia memulakan perang di Ukraine pada 2022, dan secara konsisten menjalankan latihan bersama bagi meningkatkan koordinasi ketenteraan serta menghantar isyarat pencegahan kepada pihak lawan.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN