LONDON: Sekurang-kurangnya 70 Ahli Parlimen British telah menandatangani sepucuk surat mendesak kerajaan United Kingdom (UK) agar menangguhkan keperluan biometrik bagi 80 pelajar Palestin dari Gaza, lapor Sky News pada Rabu.
Perang yang sedang berlaku di wilayah Gaza telah menghalang para pelajar ini daripada menjalani pemeriksaan biometrik yang diwajibkan untuk permohonan visa pelajar ke UK.
Pengecualian daripada syarat ini akan membolehkan mereka mengambil tempat di universiti-universiti Britain yang telah pun ditawarkan kepada mereka untuk pengajian bermula September ini.
Usaha mendesak pengecualian ini dipimpin oleh dua Ahli Parlimen Parti Buruh, Abtisam Mohamed dan Barry Gardiner.
Menurut garis panduan Jabatan Dalam Negeri UK, pemohon visa dikehendaki memberikan foto potret dan imbasan cap jari sebagai sebahagian daripada proses keselamatan imigresen.
Namun, satu-satunya pusat pemprosesan biometrik UK di Gaza telah ditutup pada Oktober 2023 selepas perang bermula, menjadikan proses itu kini mustahil dilaksanakan di wilayah tersebut.
“Sebelum perang sekalipun, meninggalkan Gaza untuk menyambung pengajian tinggi adalah satu proses yang rumit. Sekatan berterusan dan kepungan menjadikan perjalanan sangat sukar.
“Namun dalam keadaan sekarang yang melibatkan pengeboman berterusan, tembakan di lokasi bantuan dan kebuluran yang diisytiharkan oleh Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC), proses ini hampir mustahil,” menurut surat yang ditandatangani oleh ahli parlimen tersebut.
Surat itu turut memberi amaran bahawa tanpa tindakan segera, para pelajar yang sepatutnya memulakan pengajian bulan depan mungkin menjadi mangsa pengeboman, tembakan atau kebuluran.
Mereka yang menandatangani surat berkenaan menggesa Menteri Dalam Negeri, Yvette Cooper agar menangguhkan keperluan biometrik untuk pemohon visa pelajar dari Gaza dan membuka laluan selamat untuk membolehkan mereka merealisasikan impian akademik mereka.
Surat itu juga menyatakan bahawa beberapa negara Eropah lain telah pun mengambil langkah proaktif untuk menyediakan laluan pemindahan selamat bagi pelajar yang akan belajar di negara mereka.
Bercakap kepada Sky News, Barry Gardiner mempersoalkan mengapa kerajaan boleh memindahkan kanak-kanak Gaza yang cedera untuk rawatan di UK, tetapi tidak memberi layanan yang sama kepada 80 pelajar yang sudah pun diterima masuk ke institusi pengajian tinggi di Britain.
Beliau turut menyebut bahawa pengecualian sebelum ini pernah diberikan kepada pelarian Ukraine dan beberapa keluarga Afghanistan yang mempunyai hubungan kekeluargaan di UK.
Gardiner menegaskan bahawa pengecualian ini bukan hanya soal kemanusiaan, tetapi juga tentang harapan masa depan negara Palestin.
“Anak-anak muda ini adalah masa depan Palestin. Mereka mempunyai bakat besar dan Palestin akan memerlukan segalanya, dari pemuzik klasik hingga perancang bandar,” katanya.
“Mereka datang ke sini untuk belajar dengan niat jelas untuk pulang dan membina negara mereka.
“Mereka telah menunjukkan ketabahan, keberanian, dan keupayaan yang luar biasa dan kita sepatutnya memudahkannya,” tambah beliau.-AGENSI










