KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengkaji kedudukan penjawat awam yang dikenakan tindakan menolak vaksin Covid-19 selaras dengan keputusan melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) bermula Mei ini.
Langkah itu perlu kerana keputusan tersebut telah mengundang persepsi berbeza bagi individu menolak vaksin dan yang mengambilnya.
Setakat 30 Oktober lalu, seramai 16,902 atau 1.6 peratus penjawat awam belum mendaftar mendapatkan vaksin.
Kebanyakan dikenakan beberapa tindakan selepas Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2021 dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 1 November mengenainya.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Kesihatan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifah Ezat Wan Puteh berkata, keputusan kerajaan melonggarkan kebanyakan SOP itu sesuatu yang pelik ketika ada penjawat awam yang sebelum ini dikenakan tindakan mungkin berasa tidak adil diperlakukan seperti itu.
“Jika semua individu termasuk yang belum divaksinasi tiada lagi sekatan, apa nasib penjawat-penjawat awam yang dikenakan tindakan sebelum ini? Ini pelik kerana mereka nampak seperti dipermainkan.
“Kalau macam ini, rakyat akan fikir buat apa kita dapatkan vaksin sebab sampai satu tahap kerajaan tetap melonggarkan sekatan untuk semua termasuk yang belum vaksin, sedangkan mereka yang lain telah ‘menawarkan badan’ untuk divaksin.
“Katalah dunia menghadapi pandemik berlainan pada masa akan datang dan memasuki Malaysia, saya yakin perkara sama akan berulang.
“Apabila sudah mencapai kadar vaksinasi tinggi, barulah keputusan kerajaan untuk melonggarkan sekatan akan berubah lagi. Akhirnya mereka yang dikenakan tindakan tidak terbela,” katanya ketika dihubungi semalam.
Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor berkata, kerajaan melalui kementerian dan jabatan sejak awal lagi melaksanakan dasar-dasar yang tidak selari.
Katanya, hal itu telah terbukti apabila peraturan baharu kerajaan menunjukkan sikap tidak konsisten dalam membuat sesuatu dasar, sehingga menyebabkan penjawat awam menjadi mangsa keadaan.
“Kerajaan sepatutnya tidak boleh melonggarkan peraturan jauh sekali mengambil tindakan tatatertib. Sekarang, saya tidak tahu apa nasib mereka yang sudah melalui pengalaman dikenakan tindakan hanya kerana mereka enggan divaksin.
“Vaksinasi mesti diteruskan walaupun kadar vaksinasi negara sudah memuaskan kerana semua tahu bahawa kita masih dalam status pandemik. Bagaimana mungkin kita boleh mengendalikan mereka yang tidak divaksin dan terlibat dalam masalah kesihatan,” soalnya.
Kelmarin, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, guru-guru yang belum menerima suntikan vaksin Covid-19 dibenarkan mengajar secara bersemuka di dalam bilik darjah bermula 1 Mei ini, walhal sebelum ini, mereka dilarang mengajar secara bersemuka di sekolah dan berada di bilik guru.
Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi, Dr. Kelvin Yii Lee Wuen dilaporkan berkata, sikap tidak konsisten kerajaan berikutan pengumuman kebenaran mengajar secara bersemuka mencetus isu ketidakpercayaan.
Sebelum ini, seorang anggota Tentera Darat Malaysia telah membawa kesnya untuk dibicarakan di mahkamah selepas dikatakan diberhentikan daripada perkhidmatan kerana menolak vaksin Covid-19.
Mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 (PU(A) 395/1993), antara bentuk hukuman tatatertib boleh dikenakan kepada penjawat awam didapati melakukan kesalahan adalah amaran, denda, dilucut hak emolumen, tangguh pergerakan gaji, turun gaji, turun pangkat atau dibuang kerja. – UTUSAN










