Jiran berdepan detik cemas, dengar mangsa jerit minta tolong

Jiran berdepan detik cemas, dengar mangsa jerit minta tolong

BOMBA memeriksa sebuah rumah yang terlibat kebakaran dan mengorbankan seorang lelaki di Kampung Padang Perdana, Jalan Sungai Lembing, di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: “Ketika kejadian saya dengar suara mangsa menjerit meminta tolong selain bunyi seperti sedang menendang barang-barang.”

Demikian kata Yusri Mohd. Azni, 20, yang merupakan antara saksi kejadian kebakaran sebuah rumah teres setingkat di Lorong Kampung Padang Perdana 6, Kampung Padang Perdana, di sini, kira-kira pukul 11 malam tadi.

Ketika kejadian berlaku rumah berkenaan didiami enam sekeluarga yang mengorbankan seorang pesara tentera laut, Mohd. Asri Idris, 39.

Kejadian itu turut mengakibatkan anak ketiga mangsa, Muhammad Aqid Aisy, 8, cedera dengan kesan melecur dan kini sedang dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini. 

Antara lain yang terselamat ialah isteri mangsa, Nor Atikah Adnan, 39 serta tiga lagi anak iaitu Muhammad Aqil Afif, 13; Muhammad Aqif Zahin, 10 dan Muhammad Aniq Rizqi, 4.

 Menceritakan detik-detik cemas tersebut, Yusri berkata, asap ketika kejadian terlalu tebal dengan keadaan api yang marak dengan begitu cepat.

Katanya, ketika cubaan jiran-jiran untuk membantu, mereka sudah mendapati Mohd. Asri masuk semula ke dalam rumah dipercayai cuba untuk hendak memadamkan api.

“Ketika kejadian itu, arwah (Mohd. Asri) kedengaran seperti berada dalam bilik air sebelum cuba mencari jalan keluar. Keadaan dalam rumah bukan sahaja gelap tetapi panas berbahang dengan haba api. Itu mungkin menyukarkan lagi keadaan.

“Saya bersama ayah membantu memadamkan kebakaran dengan menggunakan baldi manakala ibu saya pergi memanggil jiran lain untuk bantu. 

“Ayah saya juga cuba sedaya-upaya memanggil nama arwah untuk memintanya keluar namun lama kelamaan arwah sudah tidak menyahut,” katanya.

Seorang lagi jirannya, Nurshafika Wahid, 25, berkata, hubungan mereka rapat kerana sudah saling mengenali keluarga mangsa sejak menetap di perumahan itu,  lapan tahun lalu.

“Keluarga arwah dan keluarga mertua saya kami sudah anggap macam anak beranak. Kami saling berkongsi cerita dan bantu membantu. Ada juga isteri arwah memberitahu yang arwah hilang selera makan dan sering berasa gusar kerana merasakan seperti ada yang tidak kena sejak tiga hari lalu. 

“Saya betul-betul tidak menyangka pula ia merupakan antara petanda arwah hendak pergi selamanya,” katanya. 

Seorang lagi jiran mangsa, Ramle Othman, 34, berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan tentang kejadian yang menimpa jiran dan juga sahabatnya itu. 

“Kali terakhir saya berjumpa arwah di bazar Ramadan berhampiran perumahan kami namun sempat memberi salam sahaja kerana ketika itu sudah hampir waktu berbuka. 

“Sejak mengenali mangsa, saya begitu senang dengannya kerana mangsa seorang yang baik dan mudah dibuat kawan selain begitu ramah untuk bertegur sapa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN