Jangan malu ada anak autisme

Jangan malu ada anak autisme

RUWINAH ABDUL KARIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Ibu bapa atau penjaga kepada kanak-kanak yang menghidap autisme dinasihatkan untuk tidak berasa malu sebaliknya terus membawa kanak-kanak berkenaan mendapatkan rawatan terapi seawal mungkin.

Pengerusi Persatuan Kanak-kanak Autisme Negeri Johor, Ruwinah Abdul Karim memberitahu, masyarakat juga perlu memainkan peranan dengan tidak meletakkan stigma negatif terhadap kanak-kanak ini.

Menurutnya, seseorang kanak-kanak yang mempunyai autisme akan menunjukkan lebih banyak perubahan positif sekiranya diberi rawatan terapi awal, iaitu seawal usia dua tahun.

“Masyarakat kita khususnya ibu bapa yang mempunyai anak-anak autisme perlu mempunyai satu mindset berkenaan apa itu autisme, ini kerana ada segelintir ibu bapa berasa malu dan menyembunyikan anak-anak mereka.

“Perkara itu berlaku mungkin kerana stigma negatif masyarakat tetapi sebaliknya kita perlu melihat perkara itu sebagai satu kelebihan, terima dengan hati terbuka dan bantu mereka jalani terapi.

“Dengan rawatan terapi awal, kita berupaya melengkapkan individu yang mempunyai autisme dengan kemahiran asas yang membolehkan mereka berdikari apabila sudah menginjak dewasa kelak,” katanya sempena sambutan Hari Autisme Sedunia yang dianjurkan di Tanjung Puteri Resort, di sini hari ini.

Tambah Ruwinah, ciri-ciri autisme terhadap seorang kanak-kanak itu boleh dikesan seawal usia 18 bulan, antaranya termasuklah lambat bertutur, suka menyendiri, tidak suka bermain dengan kanak-kanak lain dan tidak memberi respons apabila dipanggil.

“Itu adalah tanda-tanda awal yang perlu diperhatikan ibu bapa, sekiranya ada tanda itu dinasihatkan mereka membawa anak-anak mereka untuk mendapatkan pandangan pakar seawal mungkin,” ujarnya yang juga Ketua Terapi Klinikal Hospital Penawar.

Ruwinah turut memaklumkan, setakat ini seramai kira-kira 300 ibu bapa telah berdaftar dengan persatuan berkenaan sejak ia ditubuhkan, tiga tahun lalu.

Sementara itu, seorang bapa, Ridzuan Zainudin, 32, pula memberitahu, dia mengesan anaknya, Amar Dzakwuan mempunyai autisme ketika kanak-kanak itu berusia dua tahun.

“Pada ketika itu, saya memanggil namanya beberapa kali tetapi tiada respons dan dia memang tidak boleh bercakap ketika itu, jadi saya terus membawanya berjumpa pakar dan mereka mengesahkan perkara itu.

“Sejak itu saya terus membawanya untuk melakukan tiga jenis terapi iaitu terapi percakapan, terapi air dan terapi kuda. Syukur Alhamdulillah dia boleh bercakap sekarang, aktif seperti kanak-kanak normal lain.

“Jadi nasihat saya, kepada ibu bapa lain jangan berasa malu dan jangan menafikan. Bawa anak-anak jumpa pakar yang betul dan lakukan rawatan terapi untuk kebaikan mereka sendiri,” ujarnya yang juga kakitangan kerajaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN