PUTRAJAYA: Kejahilan terhadap pengetahuan agama Islam menjadi punca wujudnya perbuatan mengambil kesempatan mencari keuntungan menggunakan agama oleh individu tidak bertanggungjawab.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, sekiranya seseorang tersebut mempunyai ilmu pengetahuan, dia tidak menjadi mangsa dan umpan kepada mereka yang mengambil kesempatan.
“Timbul isu pakej taubat RM20 dan benda pelik ini berpunca daripada kita jahil tentang agama. Akhirnya orang mengambil kesempatan atas kejahilan kita dan menggunakan agama bagi perniagaan mereka.
“Kalau orang cerdik, kita tahu taubat Allah SWT itu tak perlu tol, tak perlu orang perantaraan. Kita bertaubat melakukan dosa dan maksiat, pintu taubat sentiasa terbuka. Selagi matahari tak naik sebelah barat dan selagi nyawa kita tak lepas halkum. Tak perlu jumpa tok guru, ustaz atau ustazah kerana kita terus dengan Allah SWT,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Mashaf Al-Quran Braille Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 1441H/2022M di sini hari ini.
Kelmarin, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) diminta menyiasat pakej promosi taubat RM20 yang ditawarkan melalui sebaran poster kepada orang ramai di media sosial baru-baru ini.
Idris dipetik berkata, siasatan segera perlu dilakukan bagi mengesan mereka yang terbabit dalam perkara itu.
Ditanya kontroversi melibatkan usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman, Idris berkata, sejak dari awal lagi beliau mengutarakan perkara tersebut kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM).
“Kita ada tuan rumah iaitu K-KOMM dan bidang kuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ada had tertentu. Hal berkaitan media ini di bawah K-KOMM dan netizen kadang-kadang tidak tahu.
“Apa benda yang berlaku, dia kata Jakim tak buat apa sebagainya. Kita nak masuk rumah orang kena ketuk pintu, jadi kita bekerjasama dengan kementerian dan dalam hal ini dengan K-KOMM manakala bagi soal ajaran agama misalnya, di bawah jabatan agama Islam negeri dan Jakim tak boleh buat (tindakan),” katanya.
Terdahulu, Aliff Syukri tiba pada pukul 9.58 pagi di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Cyberjaya berhubung klip video muzik sempena Aidilfitri yang menerima kecaman hebat.
Klip video muzik tersebut mengundang kecaman orang ramai apabila memaparkan sekumpulan lelaki menari dalam keadaan ‘menggeletis’ dengan menggayakan pakaian yang disifatkan netizen sebagai tidak menghormati bulan suci Ramadan. – UTUSAN